Perak Hari Ini

Laksana perubahan dan selesaikan masalah rakyat: DS Zambry

Barisan Nasional (BN) Perak perlu terus melaksanakan agenda perubahan dan menyelesaikan masalah rakyat meskipun sokongan pengundi terutamanya kaum Melayu dan India dilihat semakin meningkat.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang bersifat angkuh seperti yang dilakukan oleh pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

“Saya tidak mahu membuat kenyataan angkuh seperti pembangkang yang begitu optimis bahawa mereka akan menang 33 kerusi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar, hari ini.

Tambahnya, sokongan rakyat terhadap BN negeri juga amat baik sekaligus memberi peluang kepada parti itu untuk terus memerintah Perak.

Beliau mengulas laporan berhubung kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai senario politik di Perak yang mengatakan ia berada di zon selesa melalui sokongan 60 peratus rakyat di negeri itu.

Pemimpin Zentrum, Dr. Abu Hassan Hasbullah mendedahkan sokongan masyarakat Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasikan oleh Barisan Nasional (BN).

Justeru itu katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Pakatan Rakyat sudah tidak boleh bergantung kepada isu tersebut kerana ia sudah tidak lagi relevan dan jika terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, usaha berterusan akan dipergiatkan bagi meraih lebih banyak sokongan rakyat terutamanya di kalangan masyarakat Cina di negeri itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");