Perak Hari Ini

PAC Perak minta senarai golongan miskin dalam sistem e-Kasih disemak semula

Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Perak meminta agar senarai golongan miskin dalam sistem e-Kasih disemak semula dan dibuat pengesahan bagi memastikan bantuan yang dihulurkan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata PAC banyak menerima aduan mengenai kesilapan dalam sistem itu sehingga ada mereka yang tidak sepatutnya, menerima bantuan.

“Senarai yang ada perlu diperhalusi dan melalui proses pemutihan…dalam keadaan ini kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak sehingga menyebabkan ada mereka yang layak tercicir. Jangan sampai perkara ini menjadi masalah besar kepada kerajaan,” katanya di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, proses pemutihan itu perlu dilakukan segera berikutan aduan dan rungutan daripada orang ramai yang mengatakan sistem e-Kasih tidak merangkumi kesemua mereka yang benar-benar layak.

Beliau berkata, pengemaskinian maklumat pada sistem itu boleh mengurangkan risiko berlaku penyelewengan serta salahguna kuasa.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan merangkumi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat semakan semula berhubung data dalam e-Kasih.

Ia bagi merealisasikan objektif kerajaan negeri membasmi kemiskinan tegar dan memastikan tidak berlaku penyelewengan sehingga ada kumpulan sasaran tercicir dari menerima bantuan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");