Perak Hari Ini

240,000 kanak-kanak luar bandar dapat pendidikan awal melalui Tabika tahun depan

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan lebih 240,000 kanak-kanak luar bandar bakal menikmati faedah pendidikan awal apabila 10,186 Taman Bimbangan Kanak-Kanak (Tabika) dibuka di seluruh negara pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata, statistik terkini menunjukkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah membuka sebanyak 9,533 buah kelas dengan jumlah penyertaan 215,674 kanak-kanak dan ia dijangka meningkat kepada 242,979 pada 2012.

Tegasnya, dari 2011 hingga 2012, KEMAS telah mensasarkan kira-kira 40,000 bakal kanak-kanak mendapat faedah pendidikan menerusi 12,000 kelas Tabika yang disediakan kementerian itu.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat komited dalam pendidikan awal kanak-kanak di mana pertumbuhan mereka di peringkat ini sangat kritikal dan memerlukan perhatian yang serius.

“Di Perak sendiri, kementerian telah menyediakan Bantuan Geran Perkapita (GPK) sebanyak RM1.34 juta untuk Tabika KEMAS dan tambahan RM405,000 lagi untuk rakyat termiskin.

“Bantuan ini meliputi kemudahan pakaian, buku serta alat pengajaran dan pembelajaran kepada 13,446 kanak-kanak di Tabika KEMAS di seluruh negeri selain menyediakan bajet berjumlah RM4.42 juta untuk program makanan tambahan dan multivitamin bagi faedah kanak-kanak Tabika dan Taska,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Bangunan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Gopeng yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shafie berkata lagi, keperluan masyarakat luar bandar dapat diselaraskan melalui pembukaan pusat kegiatan kemasyarakat yang dibangunkan oleh kementerian itu.

Kementerian itu katanya, bukan setakat menyediakan prasarana tetapi juga tenaga pengajar yang berlatih bagi memastikan keperluan rakyat di luar bandar dapat dipenuhi.

“Jika dahulu tenaga pengajar berkelulusan diploma tetapi kini mereka memiliki kelulusan di peringkat ijazah dan kita yakin anak-anak yang dididik akan mendapat ilmu secara terbaik melalui kelas yang disediakan oleh KEMAS,” katanya lagi.

Dari segi pengisian pula, bukan setakat ilmu yang ingin diperturunkan kepada kanak-kanak tetapi juga mendidik mereka menjadi pemikir dan penilai yang baik.

Ini katanya, dapat mengalakkan kanak-kanak berfikir secara mendalam dan ini adalah salah satu usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam program pendidikan awal kanak-kanak.

“Kita mahu proses pembelajaran kanak-kanak luar bandar tidak diasingkan antara anak masyarakat majoriti dan anak Orang Asli bagi mencapai intergrasi di peringkat awal,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");