Perak Hari Ini

Tahap pengetahuan dan kemahiran tentukan pencapaian sosial dan ekonomi rakyat

Tahap penguasaan pengetahuan dan kemahiran berperanan besar dalam menentukan tahap pencapaian sosial dan ekonomi bagi seseorang individu mahupun sesebuah keluarga.

Sultan Azlan bertitah, dalam era teknologi maklumat dan komunikasi serta ekonomi yang berpaksikan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan pengetahuan menjadi sangat penting.

“Program membina upaya dan memberi nilai tambah kepada sumber manusia menjadi semakin penting supaya setiap warga berdaya untuk mengharungi cabaran hidup hari ini dan akan datang.

“Usaha kreatif perlu diterokai dan dilaksanakan bagi merapatkan jurang pencapaian serta pendapatan antara rakyat yang turut mempengaruhi kestabilan dan ketenteraman sesebuah negara.

“Ia juga dapat memastikan tidak berlaku jurang perbezaan pencapaian yang terlalu besar di antara rakyat negara ini,” titahnya ketika merasmikan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Gopeng, dekat Gopeng hari ini.

Hadir sama, Raja Di Hilir, Raja Jaafar Raja Musa; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sultan Azlan menegaskan, usaha untuk membantu masyarakat luar bandar dan mereka yang berada dalam zon kemiskinan akan hanya memberi impak jika ia dilaksanakan dengan penuh amanah dan keikhlasan.

“Amatlah menyedihkan jika berlaku penyelewengan di kalangan para pelaksana kerana didorong perasaan tamak dan kepentingan peribadi lalu menyebabkan ketirisan peruntukan kewangan yang sepatutnya menjadi milik orang miskin.

“Akibatnya, hasrat untuk membela nasib golongan miskin tidak kesampaian dan semakin banyak peruntukan disediakan, semakin banyak ketirisan berlaku yang memberi faedah kepada beberapa individu yang berkepentingan sementara majoriti warga terus jauh ketinggalan,” titah Sultan Azlan lagi.

Titahnya, sejarah telah menunjukkan kejatuhan sesebuah kerajaan atau pemerintahan adalah berpunca daripada kegelisahan majoriti rakyat telah hilang keyakinan terhadap keikhlasan kerajaan untuk benar-benar membela nasib mereka.

Tegas Sultan Azlan, para pemimpin, pengurus dan pentadbir yang diberi amanah untuk mengurus dan mentadbir negara hendaklah mengambil iktibar daripada sejarah lalu dan peristiwa yang sedang berlaku di serata dunia.

“Kemiskinan warga dan kesusahan hidup yang gagal diatasi secara berkesan akan menjadi ladang subur untuk menyemai perasaan membenci kerajaan di kalangan rakyat.

“Oleh itu, ingatlah bahawa rakyat bukan sekadar diberi harapan tetapi harapan mereka wajib dipenuhi,” titahnya lagi.

Menurut Sultan Azlan lagi, KEMAS telah banyak berjaya kepada masyarakat di negara ini dengan memperkenalkan program pendidikan berbentuk kelas dewasa di serata tanah air agar rakyat tahu membaca dan menulis.

Selain itu, rakyat juga dibimbing dari segi pemakanan sihat, penjagaan kesihatan serta pengurusan rumahtangga dan keluarga, titahnya lagi.

“Usaha yang dilaksanakan KEMAS ini telah berjaya melahirkan lebih ramai masyarakat yang celik huruf dan berpengetahuan,” tambah Sultan Azlan.

PKM Gopeng dibina pada 2006 dan siapnya sepenuhnya pada 2008 dengan kos RM6.6 juta yang kini menjadi nadi pentadbiran daerah atau kawasan selain menganjurkan pelbagai aktiviti sosial bagi menggalakkan interaksi sihat di kalangan rakyat setempat.

PKM Gopeng adalah bangunan yang ke-66 dibina oleh KEMAS.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");