Kolumnis

Bersih 2.0: Hanya orang bodoh saja yang akan hadir

Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menyusup masuk ke Muktamar Pas ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah Pas, Taman Melewar, Gombak. Itupun dihari yang terakhir perhimpunan tersebut. Pad hari terakhir itu, hujan turun dengan lebat, mungkin kerana menyambut kehadiran saya di tempat musuh politik itu.

Ketika mahu pulang, saya terdengar pengumuman dan kempen dari pembesar suara. Rupanya jurucakap tersebut sedang berkempen kepada para ahli Pas untuk menghadirkan diri pada perhimpunan Bersih 2.0, yang dijangka berlangsung pada 9 Julai depan, di ibu negara.

Jurucakap Pas tersebut beriya-iya berkempen meminta para perwakilan dan penyokong-penyokong Pas dari seluruh negara untuk sekali lagi datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berdemonstrasi jalanan, kononnya mahu memastikan keadilan dan ketelusan pilihanraya.

Pada saya, ini kerja gila! Pada saya, adalah sangat membuang masa, wang ringgit dan tenaga bagi sesiapa saja dari Johor hingga ke Perlis, dari Sabah dan Sarawak, untuk hadir ke Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk ditembak dengan meriam air atau “water cannon” yang mampu mereputkan pakaian mereka.

Ini adalah perkara sia-sia dan adalah sesuatu yang bodoh untuk disertai oleh mana-mana individu yang dikurniakan akal yang waras. Apakah mereka fikir dengan berdemo seperti itu maka ia akan menghasilkan perubahan yang positif terhadap desakan mereka? Setahu saya, proses pilihanraya negara ini adalah antara yang paling telus di dunia. Apa lagi yang mereka mahu?

Jika mahu penggunaan dakwat kekal, pihak SPR sudah lakukan lebih dari itu. Jika mahukan pilihanraya yang telus, pembangkan g sendiri punya pemerhati dalam setiap proses pengundian di setiap pusat mengundi. Jika mahu pengundi pos dihapuskan, kemukakanlah mekanisme yang realistik untuk dikaji sebelum diimplimentasikan. Mahu apa lagi? Semuanya boleh dilakukan tanpa berdemo.

Jika sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong, tak payah berdemo pun boleh diserahkan. Mengapa perlu Pakatan Pembangkang ini menyusahkan pengguna jalanraya yang bakal berdepan dengan kesesakan lalulintas dan peniaga yang akan rugi ekoran premis perniagaan mereka terpaksa ditutup kerana keganasan para pendemo?

Pada saya, Demo Bersih 2.0 ini tidak lain hanyalah untuk melakukan provokasi terhadap Kerajaan dan secara tidak langsung merugikan, menyusahkan dan memperbodohkan minda rakyat! Tiada faedah dari segi ilmiah pun yang bakal diperolehi oleh para peserta demo ini.

Pada pandangan saya, adalah lebih berfaedah bagi penyokong Pas dan Pakatan Pembangkang ini menghadiri program yang lebih bermanfaat seperti Karnival Inovasi Islam yang baru-baru ini dirasmikan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong pada 2 Jun yang lalu. Lebih banyak faedahnya dari perhimpunan Bersih 2.0 itu.

Malangnya, amat sedikit sekali dari kalangan penyokong Pas yang ingin menyertai program yang ilmiah, berinformasi dan bermanfaat seperti itu. Karnival Inovasi Islam yang berakhir pada 5 Jun lalu itu tidak disebut langsung oleh jurucakap Pas itu meskipun karnival itu berlangsung ketika Pas sedang bermuktamar. Kempen provokasi lebih menjadi keutamaan Pas berbanding kempen tentan sesuatu yang lebih berfaedah untuk dilakukan.

Justeru itu, saya menggesa kepada para penyokong Pas dan Pakatan Pembangkang agar berfikir dengan akal yang dikurniakan Allah itu sebaiknya untuk menilai sama ada wajar atau tidak untuk membazir tenaga dan masa menyertai perhimpunan yang lebih mirip kepada kekacauan itu atau tidak. Saya tidak memaksa, namun saya fikir, hanya orang tak punya akal saja yang akan hadir.

Oleh: Laksmana Tun Tuah untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");