Perak Hari Ini

Dr Jamil dilantik rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan

Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan pelantikan Prof Madya Dr Jamil Hashim sebagai rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan secara kontrak selama tiga tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, Dr Jamil merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa yang menguasai tiga bahasa dan berlatar belakang pengajian Islam dengan mendapat kelulusan daripada universiti tempatan dan luar negara.

Katanya, sebelum ini, anak kelahiran Kuala Kurau itu juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Mesir.

“Pelantikan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menaiktaraf Kolej Islam Darul Ridzuan kepada kolej universiti dan kerajaan negeri berharap Dr Jamil sebagai rektor baru dapat melihat dan rancang usaha terbaik bagi mencapai matlamat itu.

“Di sini, kerajaan negeri juga ingin merakamkan penghargaan kepada mantan rektor, Prof Yusof Husin yang berkhidmat di kolej itu selama enam tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry menafikan bangunan yang diruntuhkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh, baru-baru ini adalah bangunan warisan yang terdapat di bandaraya ini.

Katanya, bangunan itu terpaksa dirobohkan kerana ia boleh mengancam keselamatan pengguna lalu lintas serta kawasan persekitaran.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Bandar bahawa bangunan yang sudah terbakar itu bukan bangunan warisan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

“Pemilik bangunan berusia lebih 100 tahun itu sudah dimaklumkan oleh MBI mengenai status keselamatan bangunan tetapi tiada sebarang maklumbalas diterima lalu ia terpaksa dirobohkan bagi menjamin keselamatan awam,” tegasnya lagi.

Sementara itu, pemilik bangunan lama di bandaraya Ipoh dan Perak disaran tampil bersama-sama kerajaan negeri untuk menceriakan bangunan itu sebagai daya tarikan pelancong.

Kata Zambry, sebanyak 60 bangunan warisan dikenalpasti di bandaraya Ipoh dan kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk memulihara bangunan terbabit.

“Bangunan lama yang memiliki nilai sejarah ini perlu dikekalkan dan kita akan mengemukakan permohonan kepada jabatan itu untuk mengazetkannya sebagai bangunan warisan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");