Perak Hari Ini

Mangsa kebakaran di Kampung Terengganu dipindahkan ke kuarters: DS Zambry

Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak akan memindahkan tujuh keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Terengganu, dekat Teluk Intan, petang Isnin lalu ke kuarters kerajaan sehingga tempoh akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mangsa akan dipindahkan esok dan kemudahan elektrik dan air perlu disediakan bagi memastikan mereka semua dapat hidup dengan selesa.

“Saya sudah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Air Perak (LAP) supaya memasang meter air dan elektrik agar mangsa yang berada di dewan ini dapat dipindahkan segera ke kuarters kerajaan mulai esok,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan RM2,000 kepada setiap keluarga di Dewan Bandaran Teluk Intan, sebentar tadi.

Dalam kejadian petang Isnin lalu, sebanyak 17 buah rumah musnah dalam kebakaran itu dan mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana kehilangan harta benda.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, 10 keluarga kini tinggal bersama sanak-saudara masing-masing dan tujuh keluarga lagi ditempatkan buat sementara di Dewan Bandaran sejak tiga hari lalu.

Beliau berkata, empat keluarga akan dipindahkan ke kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala tiga lagi akan ditempatkan di kuarters Jabatan Kesihatan negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sudah mengadakan perbincangan dengan jabatan bertanggungjawab bagi menyediakan kemudahan tempat tinggal yang kekal kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap masalah penempatan kekal itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang segera.

“Kerajaan amat prihatin dengan nasib mangsa yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dan tinggal di tanah milik persendirian.

“Ada di antara keluarga ini menyewa rumah di kawasan ini dan kita akan mengambil tindakan perlu bagi menyelesaikan isu penempatan kekal kepada setiap keluarga yang terbabit dalam kejadian kebakaran petang Isnin lalu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry turut memuji tindakan pantas agensi bertanggungjawab dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang segera menghulurkan kepada mangsa kebakaran.

Mengulas bantuan awal yang dihulurkan kepada mangsa, beliau berkata, bantuan berupa keperluan asas disediakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah kerana mangsa tinggal sehelai sepinggang disebabkan semua harta-benda mereka musnah dalam kebakaran itu.

“Bantuan bencana alam turut disumbangkan kepada mangsa dan parti politik yang mewakili BN juga tidak mahu ketinggalan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");