Kolumnis
Like

KAMPUNG KEPAYANG KAMPUNG HANTU

June 5, 2011
1645 Views
7 Comments
3 minutes read
KAMPUNG KEPAYANG KAMPUNG HANTU

Mungkin ramai yang tidak tahu tentang kewujudan Kampung Kepayang. Atau barangkali juga ramai yang bertanya-tanya mengapakah dua buah deretan bangunan kedai lama di kiri kanan Jalan Persekutuan menghala ke Selatan dari Ipoh, dibiarkan tidak berpenghuni atau diruntuhkan.

Seperti juga pekan-pekan lain di sepanjang Jalan Persekutuan, pekan Kampung Kepayang wujud daripada aktiviti perlombongan bijih timah yang suatu masa dahulu menjadi nadi utama ekonomi negeri Perak. Barisan kedai di kiri dan kanan jalan merupakan kawasan utama yang menjadi tempat penduduk kampung sekitar membeli belah.

Namun perjalanan masa dan perubahan logistik menjadikan kawasan yang suatu masa dahulu menjadi tumpuan, kini ditinggalkan. Nasib yang sama melanda Kampung Kepayang.

Kampung Kepayang terletak di selatan Simpang Pulai, berhampiran dengan Bandaraya Ipoh. Kampung ini terletak di sepanjang Jalan Persekutuan. Terdapat dua baris rumah kedai yang hampir semuanya telah terbiar kecuali dua atau tidak buah rumah kedai sahaja yang masih digunakan.

Kerja-kerja melebarkan Jalan Persekutuan yang terbentang di tengah-tengah pekan kecil tersebut menyebabkan tiadanya tempat letak kereta, sekaligus menjadi salah satu faktor kedai-kedai di pekan itu gulung tikar kerana perniagaan terjejas. Ditambah pula dengan pembangunan serta wujudnya premis ONE STOP CENTRE yang banyak terdapat di sekitar Ipoh, menjadikan kedai-kedai tradisional seperti di Kampung Kepayang, menjadi tempat-tempat berhantu kerana ditinggalkan.

Biarpun Kampung Kepayang sekarang telah menjadi sebuah pekan hantu, namun alamat-alamat bagi kawasan itu yang berposkod 31300 termasuk Simpang Pulai, masih bertulis ‘Kampung Kepayang’ sebagai nama pekan atau bandar. Sebabnya segala urusan mel kawasan tersebut diuruskan oleh Pejabat Pos Kampung Kepayang yang kini telah berpindah ke Simpang Pulai.

Pekan yang dikelilingi oleh kampung Melayu suatu waktu dahulu terkenal dengan jualan buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak dan sebagainya yang dikeluarkan daripada dusun-dusun penduduk. Terdapat juga sebuah masjid yang masih digunakan di hujung bangunan kedai dua tingkat jenis lama itu.

Uniknya, di dalam setiap rumah kedai tersebut terdapat sebuah telaga yang pernah digunakan oleh penghuninya. Ia serupa dengan rumah-rumah kedai lama lain di pekan seperti Gopeng, Papan, Batu Gajah dan sebagainya. Kebanyakan pekan mempunyai bekalan air paip, menyebabkan kebanyakan pemilik mengambus telaga mereka, tetapi tidak di Kampung Kepayang.  

Apabila Kerajaan Negeri Perak membuat keputusan untuk membaikpulih bangunan-bangunan lama bagi tujuan pelancongan, mungkin deretan kedai di kiri kanan Jalan Persekutuan di Kampung Kepayang tidak akan dibiarkan. Deretan bangunan tersebut adalah sejarah kepada industri bijih timah di Perak.

Dengan perkembangan Bandaraya Ipoh yang semakin melebar, Kampung Kepayang yang sebenarnya tidaklah terlalu jauh dari Ipoh, akan berada dalam zon pembangunan. Mungkin juga Kampung Kepayang wajar dibangunkan semula bagi tujuan pelancongan untuk menunjukkan bagaimana Perak berkembang selepaskedatangan kaum imigran yang ditarik oleh bijih timah. Nilai-nilai sejarah yang terdapat pada Kampung Kepayang tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja.

Ditambah pula dengan kedudukannya yang sangat hampir dengan simpang ke Lebuhraya Utara Selatan exit Simpang Pulai, pastinya Kampung Kepayang yang sekarang ini berstatus Pekan Hantu boleh ditukarkan menjadi kawasan pelancongan yang dapat merancakkan ekonomi penduduk sekitar.

Komen & Pendapat

7 Comments

  1. silverman

    Kenapa tidak di roboh sahaja bangunan pekan ini. Tidak ada guna lagi. Hapuskan peninggalan penjajah ini. Tidak ada apa hendak di megahkan. Buat sakit hati kita je!

  2. Mrs Francis Narcis

    Sebagai seorang penggemar sejarah saya kira bangunan-bangunan lama seperti ini patut digezetkan. Bukan untuk berbangga atau bermegah-megah, tapi hanya sekadar memperingati laluan atau ‘passage’ yang telah dilalui oleh nenek-moyang kita and pahit jerih yang telah mereka hadapi semata-mata untuk memberi suatu kehidupan untuk generasi kini. Suatu nostalgia dapat saya rasakan apabila melalui mana-mana “Bandar/Kampung Hantu” seperti Kampung Kepayang ini. Bangunan seperti ini tentunya dipanggil “rumah-kedai”, dan saya dapat bayangkan bagaimana kehidupan di bandar atau kampung seperti ini di masa lampau.

  3. dzul

    Kenapa lama sgt kerajaan pusat/ pihak berwajib utk mengambil langkah pengubahsuaian bagi membaik pulih penempatan tersebut…sakit mata memandang…MB’s mustahil x perasan kot ?

  4. Ida

    Bangunan macam ni patut dibuat pemuliharaan dengan mengekalkan fasad seperti asal.

  5. James Chew

    Saya baharu mengunjungi kampong ini minggu yang lalu. Datuk dan nenek saya berasal dari sini. Rasa pilu melihat keadaan bangunan2 yang tua ini. Kawasan dibelakang kedai2 ini adalah warisan keluarga kami semenjak seratus tahun yang lalu. Saya masih ingati paklong saya, ada menyimpan bahan2 pokok getah dan lateks disalah sebuah kedai disini dlam tahun 60’han. Bangunan2 ini memang amat lama dan dalam kerosakan teruk. Pihak yang berwajib mesti ambil keputusan dari segi keselamatan, mengubahsuai untuk pelawat2 sekarang, atau merobohkan semua sekali. Sekeping sejarah datuk nenek saya pun telah lalu.

Leave a Reply