Perak Hari Ini

Penduduk bimbang tragedi tanah runtuh di Hulu Langat berulang

Ibarat telur di hujung tanduk, itu perumpamaan yang dihadapi tiga buah keluarga dari Felda Trolak Timur, dekat Sungkai yang saban hari bimbang dengan keselamatan mereka akibat diancam kejadian tanah runtuh sejak tiga tahun lalu.

Kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, bulan lalu mungkin berulang jika tanah bukit yang terletak di belakang rumah mereka tidak dibersihkan atau ditolak dengan segera.

Peneroka, Zakaria Abdullah, 54, berkata setiap kali hujan lebat, runtuhan tanah yang disertai air lumpur pasti berlaku dan terbaru, runtuhan kali ketiga terjadi kira-kira sebulan yang lalu.

“Runtuhan tanah ini semakin serius sejak tiga tahun kebelakangan ini di mana saya dapati rekahan tanah di kawasan tepi bukit semakin nyata dan akan runtuh apabila hujan lebat.

“Bagi memastikan tanah runtuh dan aliran air lumpur ini tidak memasuki rumah yang terletak 2 meter dari tepi bukit, saya terpaksa mencangkul tanah semasa hujan tanpa langsung menghiraukan keselamatan diri,” katanya kepada Peraktoday.com, hari ini.

Masalah itu katanya, pernah dibangkitkan di peringkat pengurusan Felda pada awal 2010 tetapi sehingga ke hari ini, tiada tindakan diambil pihak berkenaan untuk menolak tanah bukit seperti yang dicadangkan oleh penduduk.

Kata Zakaria lagi, wakil Felda ada datang meninjau tempat kejadian ketika runtuhan kali kedua berlaku tetapi langsung tidak memaklumkan tindakan yang bakal diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

“Yang paling penting, tanah yang sudah runtuh ini perlu dibersihkan dan dibuang segera selain membina teres bertingkat bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh yang bukan sahaja boleh merosakkan harta benda tetapi juga mengancam nyawa penduduk,” tegasnya lagi.

Menurutnya, selepas tanah itu ditolak, penduduk juga mahu jalan baru dibina di belakang rumah mereka sebagai laluan untuk turun ke Jalan Intan.

Kebimbangan sama dikongsi Mohd Noor Hashim, 61, yang tinggal bersama dua lagi ahli keluarganya dan setiap kali hujan, perasaan takut menyelebungi perasaan mereka.

Jarak tanah yang runtuh dengan bahagian dapur katanya, terlalu dekat dan walaupun ia sudah dibersihkan sebelum ini, tanah di tepi bukit akan mengelongsor lagi setiap kali hujan lebat.

“Saya pernah berhabis RM2,000 untuk kerja membersih dan menambak tanah yang runtuh berdekatan bahagian dapur rumah. Kami sekeluarga hidup dalam ketakutan disebabkan masalah ini dan saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu dan menyelesaikannya sebelum ada nyawa yang menjadi korban,” katanya lagi.

Pasangan suami-isteri, Arshad Ajan dan Arbiah Hasan, turut berhadapan masalah sama kerana rumah mereka juga terletak hampir dengan lereng bukit.

Mereka berdua juga terpaksa berhempas-pulas membersihkan tanah dan air lumpur yang memasuki halaman rumah kerana anak-anak tinggal di luar kawasan.

“Pengalaman melihat sendiri tanah runtuh yang disertai aliran lumpur ketika hujan lebat cukup menakutkan kami berdua sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

“Dengan lebih banyak rekahan tanah kelihatan di belakang rumah, kami bimbang masalah ini akan bertambah teruk jika tiada langkah pencegahan diambil dengan secepat mungkin,” kata Arshad.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 500 keluarga peneroka yang tinggal di Trolak Timur akan terputus hubungan dengan dunia luar jika jalan utama yang menghubungkan kawasan itu dengan tempat lain runtuh secara tiba-tiba.

Ketika ini, berlaku runtuhan tanah di tepi jalan itu yang selama ini menjadi laluan utama pengguna untuk berulang-alik ke pekan Sungkai atau ke Trolak Utara dan Selatan.

Tinjauan Peraktoday.com di tempat kejadian mendapati, beberapa buah kon diletakkan di bahu jalan dan kelihatan tanah di tebing jalan sudah runtuh dan kemudiannya jatuh ke dalam sungai.

Sehubungan itu, penduduk menggesa pihak bertanggungjawab agar mengambil langkah pencegahan sebelum masalah berkenaan menjadi lebih serius hingga menyebabkan jalan utama itu terputus.

“Ketika ini, masalah itu tidak begitu serius dan kos untuk membaikinya juga mungkin tidak terlalu tinggi dan penduduk di sini berharap ia mendapat perhatian segera baik oleh pengurusan Felda mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata salah seorang penduduk yang ditemui.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");