Perak Hari Ini

Perak Lulus Pembinaan Logi Bekal Gas Cecair Asli

Kerajaan Negeri Perak meluluskan kawasan seluas 60 hektar di Tanjung Hantu, Segari di Manjung bagi projek pembinaan kemudahan membekal gas cecair asli (LNG) yang membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM5.8 billion, kata Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Beliau berkata projek berkenaan akan dibangunkan oleh syarikat Atigas Technology Sdn Bhd yang akan mengimport LNG dari Qatar dan membekalnya untuk pasaran tempatan.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Hamidah berkata kilang LNG di Tanjung Hantu itu adalah yang kedua di rantau Asia Tenggara selepas Singapura dan ia bakal menyediakan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata LNG yang dipasarkan oleh syarikat berkenaan mengikut harga pasaran tempatan.

“Kerajaan dijangka dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM2 bilion setahun kerana Atigas menawarkan harga yang sama dengan gas yang telah disubsidi kepada pengguna,” katanya.

Hamidah berkata kemudahan bekalan LNG berkenaan dijangka dapat menarik lebih banyak industri ke Perak terutama di sekitar daerah Manjung.

Sementara itu, Pengarah Urusan Atigas, Tang Hock Leng berkata projek tersebut akan melibatkan dua fasa iaitu pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi fasa pertama yang akan bermula dalam masa 12 bulan dan RM3.8 bilion bagi fasa kedua.

“Dalam fasa pertama, kita akan membina sebanyak 20 tangki LNG dan sebanyak 15 tangki LNG pada fasa kedua. Penghantaran LNG yang pertama dari Qatar akan tiba dalam masa 15 bulan dari sekarang.

Bagi fasa pertama, kita merancangkan untuk menghasilkan sebanyak 7.4 juta meter kiub (m3) LNG sebulan bagi menampung satu pertiga keperluan gas dalam negara,” katanya.

Tang berkata pihaknya merancang membina 350 stesen LNG termasuk kira-kira 100 stesen khusus untuk nelayan bagi memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara.

“Bagi menggalakkan penggunaan LNG, Atigas akan membekalkan alat penukar LNG kepada gas asli secara percuma kepada pengguna kenderaan dan bot-bot nelayan,” katanya.

Beliau berkata antara kelebihan LNG berbanding gas asli ialah ia tidak memerlukan saluran paip bawah tanah untuk disalurkan ke kawasan industri tetapi cuma memerlukan pembinaan tangki di kawasan berdekatan.

Penggunaan LNG semakin meluas di Amerika Syarikat dan Eropah kerana lebih menjimatkan, tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");