Perak Hari Ini

Program Turun Ke Kedai Kopi jadi platform dekati masalah rakyat: Hamidah

Program Turun Ke Kedai Kopi adalah inisiatif terbaru yang diperkenalkan oleh Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman bagi meninjau masalah rakyat bersama barisan kepimpinan kawasan yang berlangsung secara santai pada setiap pagi Jumaat.

Katanya, program julung-julung kali diadakan itu juga dapat memberi peluang kepada rakyat dan pemimpin kawasan untuk bersemuka terus dengan wakil rakyat bagi menyuarakan masalah mereka atau mendapatkan surat sokongan yang berkaitan.

“Program ini akan menjelajah ke setiap kawasan di DUN Sungai Rapat pada setiap pagi Jumaat yang mana saya berpeluang mengenalpasti setiap masalah yang dihadapi rakyat tempatan.

“Pendekatan ini juga begitu santai di mana rakyat boleh berjumpa dengan wakil rakyat dan pemimpin kawasan di kedai kopi dan ia juga boleh dikatakan sebagai pusat khidmat bergerak yang seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Peraktoday.com selepas Program Turun Ke Kedai Kopi di Kampung Pengkalan Pegoh, pagi tadi.

Hadir sama, Penghulu Mukim Lahat, Mohd Sani Kamaruddin.

Sementara itu, Mohd Sani berkata, program Turun Ke Kedai Kopi yang diperkenalkan wakil rakyat Sungai Rapat itu dapat memudahkan rakyat kerana mereka boleh berjumpa di luar pejabat dalam suasana yang lebih santai.

“Rakyat boleh berjumpa terus dengan wakil rakyat untuk mendapatkan surat sokongan atau menyerahkan borang permohonan tanpa sebarang protokol,” katanya.

Ketua Kampung Pengkalan Pegoh, Mansor Pandak Md Din, pula berkata inisiatif yang diambil Adun Sungai Rapat itu juga dapat mendekati dan menyelami hati dan masalah rakyat secara lebih dekat.

Beliau sendiri katanya, membangkitkan dua isu yang disuarakan rakyat di kampung itu iaitu masalah ketiadaan mini pos dan banjir kilat yang dihadapi kira-kira 50 keluarga di Kampung Pengkalan Pegoh Tambahan 2.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan setiap kali hujan lebat, rumah penduduk akan dinaiki air kira-kira 0.6 meter yang dipercayai berpunca daripada sistem longkang dan perparitan yang tidak sempurna.

“Selepas mengadakan tinjauan di kampung itu sebentar tadi, saya dan Penghulu Mukim diarahkan oleh Datuk Hamidah supaya menyediakan bajet untuk kerja menaiktaraf sistem perparitan di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");