Perak Hari Ini

Perak sedia 600 hektar tanah untuk diagihkan kepada 15 PPK

Kerajaan sudah mengenalpasti kawasan seluas 600 hektar untuk diagihkan kepada 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri Perak yang bakal diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika mengumumkan berita gembira itu juga berkata, pertubuhan itu juga berpotensi untuk berkembang maju serta meraih pulangan lumayan seperti Felda dan Felcra jika ia dapat diurus dengan baik.

Pertubuhan yang ditubuhkan awal 1970an itu katanya, antara lain berperanan mengerakkan ekonomi di kawasan desa dan meningkatkan pendapatan rakyat dengan memajukan tanah dalam sektor pertanian.

“Saya akan mengarahkan Pengerusi Jemaah Pengarah PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail dan Exco Pertanian negeri, Datuk Saarani Mohamad untuk melihat perkara ini termasuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk diberi kelulusan.

“Daripada 30 PPK yang ada di Perak, 15 daripadanya sudah memiliki tanah sendiri dan bakinya akan menerima 600 hektar tanah lagi daripada kerajaan negeri untuk dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit.

“Dengan sokongan kerajaan, saya percaya hasil atau pendapatan yang bakal dijana daripada ladang yang diuruskan PPK ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga dapat dikongsi bersama golongan kurang bernasib baik melalui pembayaran zakat pada setiap tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Dividen Peserta Ladang Rakyat dan Ladang yang Diuruskan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry turut mengingatkan ahli pertubuhan itu agar tidak melupakan asal-usul dan bersyukur di atas nikmat yang dianugerahkan Tuhan.

Katanya, ahli pertubuhan itu perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka sekaligus memberi jaminan pulangan lebih lumayan dalam bentuk dividen.

Pada majlis itu, Dr Zambry menyerahkan RM19.8 juta sebagai bayaran dividen kepada 924 peserta PPK serta ladang yang diuruskan oleh PPN Perak.

Sementara itu, peserta PPK Parit Buntar, Sharifah Mardiah Syed Alwi, 56, berkata, bayaran dividen yang diterimanya meningkat kepada RM7,000 tahun lalu berbanding hanya RM5,000 tahun 2009.

“Ini merupakan tahun ketiga saya menerima bayaran dividen daripada PPN yang mengusahakan tanah saya seluas 0.8 hektar dengan tanaman kelapa sawit,” katanya yang turut memiliki perusahaan membuat telur masin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");