Perak Hari Ini

Perhimpunan BERSIH: Pembangkang takut hadapi pilihanraya akan datang

Perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dirancang diadakan pada 9 Julai depan memberi isyarat bahawa pihak pembangkang semakin takut untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Gopeng, hari ini, perhimpunan itu juga katanya, hanya tindakan sia-sia kerana ia tidak berlandaskan sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini.

Katanya, dalam setiap pilihanraya, keputusan adalah di tangan rakyat yang menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan dan bukannya dengan menyertai demontrasi dan rusuhan jalanan untuk mengambil alih kerajaan secara haram.

Beliau berkata, mana mungkin negeri seperti Kelantan dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang jika demokrasi tidak berlaku dalam proses pemilihan atau pilihanraya yang dilaksanakan selama ini.

“Saya lihat perhimpunan ini hanya membazir wang rakyat kerana pasukan keselamatan seperti polis terpaksa dikerah untuk mengawal keadaan dan keselamatan umum selain turut menjejaskan pendapatan peniaga dan pemandu teksi,” katanya sambil menasihatkan rakyat supaya menolak budaya demontrasi jalanan itu.

Pihak pembangkang katanya, boleh menggunakan Parlimen dan Dewan Negeri untuk bersuara dan perhimpunan itu juga jauh bertentangan dengan amalan demokrasi kerana rakyat tidak dipaksa untuk memilih calon yang bertanding dalam pilihan raya.

“Budaya luar yang dicontohi perhimpunan BERSIH jauh berbeza dengan budaya pilihanraya di negara ini. Ini jelas berlaku di tujuh pilihanraya kecil sebelum ini dan terbaru, pilihanraya negeri Sarawak di mana rakyat yang menentukan calon yang menang tanpa unsur paksaan….kita lihat ada calon DAP yang menang tetapi Barisan Nasional menang dengan majoriti 2/3 di Sarawak tetapi pembangkang lebih mengetengahkan keputusan mereka bukannya keputusan rakyat.

“Perhimpunan BERSIH ini juga satu budaya import yang menggambarkan pembangkang takut, jika berani kita hadapi pilihanraya akan datang tanpa perlu menganjurkan rusuhan untuk merebut kuasa secara haram,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika mengulas isu sama turut bersetuju dengan kenyataan Mohd Shafie itu sambil menegaskan sistem demokrasi dan sosial yang diamalkan di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain kerana ia berbeza.

“Jika benar sistem pilihanraya yang ada di negara ini tidak bersih, maka tidak ada lima negeri di mana BN kalah. Kita tidak faham apa yang pihak ini mahu dengan menganjurkan perhimpunan itu.

“Oleh itu, rakyat perlu bijak menilai pergerakan ini yang dilihat mahu menghuru-harakan negara yang sedia ada aman dan makmur. Jika kita benar-benar mahu berpaksikan kepada demokrasi, maka kembalilah kepada sistem demokrasi dan bukannya melalui demokrasi jalanan,” katanya lagi.

Menteri Besar Perak itu berkata, perhimpunan itu menggambarkan ada pihak tertentu yang tidak sabar untuk ke Putrajaya dengan menggunakan jalan singkat.

Pada 9 Julai depan, satu perhimpunan BERSIH untuk kali kedua dirancang diadakan di Kuala Lumpur termasuk di Sabah dan Sarawak bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan “Gelombang Kuning”, menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra, atas alasan sama.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu penganjur dan individu yang berhasrat menyertai perhimpunan itu supaya berfikir semasak-masaknya kesan perhimpunan itu kepada negara dan rakyat, sekiranya ia diadakan.

Beliau berkata, rakyat bimbang perhimpunan itu boleh menimbulkan satu keadaan ketidaktenteraman kerana akan berlaku pertembungan dua pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu.

“Polis terima banyak aduan dan ini boleh mencetuskan keadaan yang tidak selamat bagi negara, polis takkan keluarkan permit maka ianya satu pergerakan haram dan menyalahi undang-undang.

“Perhimpunan itu pastinya tidak akan didukung oleh seluruh rakyat, mungkin sekelompok sahaja atau ada pihak lain yang menumpang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");