Perak Hari Ini

JPJ dan MPM diarah laksana undang-undang banteras teksi haram di Pangkor

Pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) diminta bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang bagi membanteras kegiatan teksi haram di Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga merangkap Adun Pangkor, berkata masalah yang sudah berlarutan sekian lama itu perlu diatasi segera oleh pihak berkuasa sebelum ia mengundang situasi yang merbahaya di masa depan.

“Saya bersimpati dengan nasib pengusaha teksi di Pangkor yang perlu membayar hutang tetapi pendapatan mereka terjejas teruk dek operasi teksi haram yang begitu meluas sekali.

“Pihak berkuasa seperti JPJ dan MPM perlu berbincang dengan persatuan pengusaha teksi berlesen bagi menyelesaikan isu ini dan saya difahamkan, operasi mengangkut penumpang di pulau itu sudah berjalan seperti biasa hari ini walaupun ada bantahan berlaku pagi ini,” katanya.

Beliau mengulas tindakan lebih 100 pengusaha teksi di pulau itu yang membantah keras kegiatan teksi haram yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, bantahan ahli Persatuan Teksi Malaysia cawangan Pulau Pangkor yang berlangsung pagi tadi mendapat perhatian Yang Di Pertua MPM , Zamri Man.

Zamri berkata, sekiranya kegiatan haram itu berulang, undang-undang akan dikuatkuasakan dan pihaknya juga akan berganding bahu dengan pihak polis dan Jabatan Laut bagi menangani masalah terbabit.

Presiden persatuan teksi, Abdullah Wahab, pula berkata, beliau amat berpuas hati dengan perbincangan yang dianjurkan oleh pihak MPM bagi menyelesaikan isu itu.

Katanya, ahli persatuan mengalami kerugian besar kerana pendapatan mereka terjejas disebabkan oleh operasi teksi haram.

“Sebelum mengunjungi pusat khidmat teksi yang disediakan, pengusaha teksi haram akan cuba memujuk pelancong agar menggunakan khidmat mereka yang tidak memiliki lesen dan permit sah.

“Sejak 10 tahun lalu, tindakan pengusaha teksi haram ini telah menjejaskan pendapatan kami dan walaupun ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa sebelum ini, kegiatan itu nampaknya masih belum dapat dibanteras sepenuhnya,” tegas Abdullah lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");