Kolumnis

Seronoknya Mat Sabu Menang!

Penulis: Kelembai Bukit untuk Perak Today

Mat Sabu telah berjaya memahatkan namanya sebagai salah seorang Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar kali Ke-57. Satu pencapaian yang menarik untuk orang seperti Mat Sabu yang sebelum ini hanya berkelayakan sebagai ayam sekalipun sambungan gelarnya adalah Ayam Sabungan PAS.

Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, para perwakilan mahukan seorang wakil yang lebih vokal atau dalam bahasa mudahnya, bersuara deras, bersembang kuat, berceramah hebat dan bernada gemuruh sekalipun tidak boleh buat kerja.

Apabila memperkatakan tentang PAS, maka mahu tidak mahu terpaksalah juga kita tekankan, tanpa sembang deras, PAS tidak boleh hidup. PAS tidak ada nyawa tanpa temberang dan ucapan berdegar-degar. Dengar sahaja para pemimpin mereka berceramah di dalam masjid. Mereka bebas memperkatakan tentang apa-apa sahaja, sekalipun pada waktu Maktubah, kononnya apa yang mereka cakapkan itu adalah sebahagian daripada zikir kepada Allah Taala. Apa peduli mereka dengan jemaah lain yang sedang beriktikaf, membaca al Quran, berzikir, mahupun bersolat sunat. Tak cukup dengan pembesar suara, suara mereka sendiri melantun-lantun di dalam masjid sampai boleh kedengaran di luar dalam majlis yang seringkali mereka gelarkan sebagai tazkirah mahupun ta’alim.

Ini adalah zaman orang dengar suara siapa yang paling kuat dan siapa yang paling kuat gebang. Mata hanya memandang kepada pakaian, ikat serban dan jubah di badan. Penglihatan sudah dibutakan daripada melihat yang sepatutnya dilihat, sebaliknya yang celik ialah untuk melihat apa yang hendak dilihat.

Ramai yang berbangga dengan kemenangan Mat Sabu. Sememangnya itu adalah hak mereka untuk meraikan pemimpin yang mereka sokong, menang jawatan yang ditandingi sekalipun kalau benar menurut ajaran Islam, mereka tidak seharusnya berasa gembira sebaliknya berasa gementar dan takut untuk berhadapan dengan Allah Taala kerana tanggungjawab yang diminta sebenarnya adalah masalah yang akan dipersoalkan oleh Allah Taala pada Hari Penghakiman nanti.

Tiada yang peliknya dengan kemenangan Mat Sabu dalam pertandingan kali ini. PAS sama seperti parti-parti siasah yang lain, tujuan utama kewujudannya adalah untuk mendapatkan kuasa dan memperolehi kemewahan daripada kuasa tersebut. Itu yang berlaku apabila PAS diberikan peluang mentadbir negeri seperti Perak, Kelantan dan Kedah.PAS tidak melepaskan peluang untuk mengulangi apa yang telah dilakukan oleh kepimpinan UMNO yang kalah.

Namun yang paling menarik ialah perubahan sikap Mat Sabu terhadap Anwar Ibrahim. Dahulu, dialah penentang paling kuat Anwar. Dia jugalahyang menggelarkan Anwar sebagai Al-Juburi. Namun sebaik-baik sahaja menang, mudah sahaja ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh manusia yang tidak lulus ITM itu iaitu, dia dahulu menentang Anwar kerana Anwar UMNO sekarang tidak lagi menentang sebab Anwar sudah sebahagian daripada pasukan Pakatan Rakyat.

Ini orang yang bercakap tentang Islam. Tentang keadilan Islam, tentang keindahan Islam. Ini orang yang mewakili parti yang konon-kononnya lebih Islam daripada orang lain, tetapi akhirnya mendedahkan belang bahawa dia hanyalah seekor haiwan politik yang akan membangkai apa-apa sahaja yang kelihatan sedap dan boleh dikunyah.

Dan inilah juga parti yang beria-ia menuduh UMNO sebagai Assobiyyah kerana memperjuangkan Kebangsaan sedangkan Nabi s.a.w tidak pula menyatakan bahawa memperjuangkan Kebangsaan adalah satu assobiyyah sebaliknya yang menyokong kezaliman dan kemungkaran kaum puak sendiri itulah yang dinamakan Assobiyyah.

Kelihatan begitu jelas, betapa keterbalikan apa-apa sahaja yang diucapkan oleh lidah para pemimpin PAS, sudah kembali ke batang hidung mereka sendiri. Mungkin mereka masih seronok dengan kemenangan Mat Sabu serta barisan kepimpinan baru PAS. Jadi, mereka mungkin akan lambat sedar tentang hakikat yang sedang mereka tempuhi atau barangkali mereka telah pun ditutup pintu hati dan hidayah Allah Taala buat selama-lamanya.

Hanya Allah Taala yang lebih mengetahui… dan kebenaran Ayat 11 Surah Al-Hujurat sememangnya tidak boleh diragui sama sekali.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");