Perak Hari Ini

Penantian 22 tahun miliki rumah idaman berakhir

Penantian selama 22 tahun buat Azlan Abdullah, untuk memiliki rumah sendiri berakhir jua apabila beliau menerima kunci rumah yang dibelinya di Taman Taman Bukit Riah, dekat Pengkalan Hulu daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), hari ini.

Tambah manis apabila kunci rumah yang terbengkalai sejak 1989 itu diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Taman Jalan Intan Pertama, dekat Grik.

Pesara polis itu adalah antara 95 pembeli unit rumah teres kos rendah satu tingkat yang terbengkalai sejak puluhan tahun lalu sebelum ia dipulih dan siap sepenuhnya pada April lalu.

Selain Taman Bukit Riah, SPNB juga menyerahkan kunci kepada 18 pembeli rumah teres satu tingkat di Taman Jalan Intan Pertama yang terbengkalai sejak 1987 pada kesiapan 80 peratus disebabkan masalah kewangan dan pengurusan. Kedua-dua projek itu membabitkan kos sebanyak RM15.5 juta untuk dibaikpulih.

“Perasaan gembira menyelubungi hati saya hari ini apabila impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai jua melalui sokongan SPNB yang mengambil alih projek Taman Bukit Riah pada 2008 yang terbengkalai berikutan masalah kewangan yang dihadapi pemaju ketika itu.

“Sepanjang tempoh itu, saya terpaksa menyewa rumah di Kroh dengan bayaran RM200 sebulan dan pada masa sama, RM153 lagi perlu dibayar kepada pihak bank untuk melunaskan pinjaman rumah.

“Saya bercadang untuk berpindah ke rumah baru ini selepas Aidilfitri dan kemudiannya melangsungkan perkahwinan anak keempat di rumah berkenaan,” kata Azlan yang turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada SPNB dan kerajaan Pusat yang begitu prihatin dalam menangani projek perumahan terbengkalai di negeri Perak.

Begitu juga bagi pasangan suami-isteri, Latif Lani dan Wong Yook Lian, yang turut bersyukur kerana impian mereka untuk mendiami rumah sendiri termakbul juga walaupun terpaksa menunggu lebih 20 tahun.

Yoon Lian berkata, beliau kini dapat tidur lebih lena kerana mereka sudah memiliki rumah yang begitu selesa untuk dihuni bersama ahli keluarga lain.

“Saya membeli rumah di Taman Bukit Riah dengan kos RM25,000 kira-kira 22 tahun tetapi pemaju gagal menyiapkannya seperti yang dijanjikan kepada para pembeli.

“Namun, atas keprihatinan wakil rakyat di sini yang juga mantan Menteri Besar, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, projek yang terbengkalai ini diambil alih oleh SPNB pada 2008 dan akhirnya berjaya disiapkan pada April lalu,” katanya yang tinggal di Kampung Tasek, dekat Pengkalan Hulu.

Turut ceria ialah pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohamad Muslim Selamat, 59, yang kini memiliki sebuah rumah idaman di Taman Jalan Intan Pertama, dekat Grik selepas 24 tahun terbengkalai.

Beliau katanya, tertarik untuk memiliki rumah teres satu tingkat itu kerana ia dijual pada harga antara RM25,000 hingga RM35,000 sahaja oleh syarikat pemaju yang berpangkalan di Ipoh.

“Sebelum SPNB mengambil alih projek ini, saya tidak begitu menaruh keyakinan untuk memiliki rumah sendiri kerana ia terbengkalai sebegitu lama tetapi dengan bantuan dan sokongan pihak terbabit, mimpi itu kini menjadi kenyataan,” katanya.

Mohamad Muslim yang kini menetap di Bangi, Selangor turut memuji sikap wakil rakyat di kawasan itu yang prihatin dengan nasib pembeli di kedua-dua projek perumahan terbengkalai yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

Tegasnya, jika wakil rakyat bersikap lepas tangan, ia lambat-laun akan memberi gambaran negatif kepada kerajaan yang memerintah, iaitu Barisan Nasional (BN).

“Saya berharap agar lebih banyak perumahan terbengkalai dapat diselesaikan oleh SPNB bukan sahaja di Perak tetapi juga di seluruh negara demi memastikan nasib dan hak pembeli terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana diberi pembelaan sewajarnya,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");