Sukan Hari Ini

TM JADI RAKAN RASMI SKUAD KEBANGSAAN

PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) — Telekom Malaysia Berhad (TM) memberi penajaan sebanyak RM6 juta setahun kepada  pasukan bola sepak kebangsaan selama empat tahun bermula tahun depan.

Pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie berkata perjanjian sehingga 30 Jun 2015 itu membolehkan logo TM dipaparkan pada jersi  latihan pasukan skuad kebangsaan serta pelbagai barangan sukan, peralatan rasmi dan pakaian rasmi skuad kebangsaan.

“Melalui program ini TM akan berganding bahu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyumbang ke arah pembangunan dan pengurusan pasukan skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara TM dan FAM sebagai rakan rasmi pasukan bola sepak kebangsaan di Wisma FAM hari ini.

Beliau berharap penajaan itu akan memberi lebih suntikan semangat kepada pemain kebangsaan untuk lebih bermotivasi dalam  kejohanan yang berikutnya.  Halim berkata TM akan berusaha untuk mempromosi pasukan kebangsaan dan membantu dalam usaha menghimpunkan penyokong untuk memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan apabila beraksi di mana-mana kejohanan.

“Kerjasama ini juga adalah sebagai satu usaha TM untuk memberi galakan kepada orang ramai bersatu menerusi sukan,” katanya.  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa berkata selain daripada penajaan itu, TM akan  menghantar dua pemain kebangsaan dan seorang jurulatih berkelayakan menjalani latihan bersama pasukan Manchester United (MU).

“Kita akan melakukan perbincangan dengan MU bagi menetapkan tarikh dan jangkamasa latihan yang sesuai dalam masa terdekat ini,” katanya.  Beliau berkata TM juga dalam peringkat rundingan dalam usahanya membawa beberapa pemain legenda kelab terkemuka Liga Inggeris (EPL) untuk memberi latihan kepada pemain bola sepak di negara ini.  Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata peranan TM dalam membantu FAM memajukan skuad kebangsaan amat dihargai.

“Kita harus kongsi bersama dalam usaha untuk membangkitkan kembali skuad kebangsaan,” katanya.
Beliau akan membuat cadangan kepada FAM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan skuad kebangsaan secara profesional daripada semua aspek termasuk latihan, kewangan dan juga pemasaran.

“Saya juga mencadangkan agar akaun kewangan pengurusan skuad kebangsaan diasingkan ke arah pengurusan yang lebih baik,”  katanya.  Abdullah juga bercadang untuk menubuhkan yayasan khas bagi menjaga kebajikan pemain kebangsaan dan juga bekas pemain kebangsaan.
— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");