Perak Hari Ini

Peranan Bahagian Perumahan Awam negeri dinilai semula: DS Zambry

Kerajaan Perak sedang menilai semula peranan Bahagian Perumahan Awam negeri dan kaedah yang digunakan seiring matlamat menyediakan rumah yang mencukupi untuk rakyat di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selama ini, peranan bahagian itu agak terbatas kepada mengawal selia rumah yang dibina dengan pinjaman atau peruntukan daripada kerajaan Pusat iaitu melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kerajaan negeri katanya, mahu melihat agar peranan bahagian itu diperluaskan lagi dalam usaha menyediakan bilangan rumah yang mencukupi untuk rakyat Perak.

“Ketika ini, yang menjadi perhatian kita ialah bagaimana untuk menyediakan bilangan rumah yang mencukupi untuk rakyat.

“Kita sedang berusaha menjadikan bahagian ini lebih berfungsi dengan memperkenalkan kaedah sesuai dengan sekurang-kurangnya membina rumah pertama yang selesa didiami.

“Kerajaan Pusat ada memperkenalkan skim rumah untuk golongan profesional dan generasi muda yang baru bekerja membeli rumah pada harga RM230,000…..jadi kita juga sedang mengkaji pendekatan ini untuk dipraktikkan di Perak.

“Beberapa modul telah dilihat dan kita mungkin boleh menggunakan pelan perumahan yang digunapakai di Singapura sebagai rujukan di Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah terbengkalai yang dibaikpulih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Grik, petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan SPNB, Prof Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh.

SPNB berjaya memulih dan menyerahkan dua projek rumah terbengkalai, iaitu di Taman Bukit Riah di Pengkalan Hulu dan Taman Jalan Intan Pertama, dekat Grik yang membabitkan keseluruhan 113 unit rumah teres satu tingkat dan rumah teres kos rendah satu tingkat yang menelan kos RM15.5 juta untuk dibaikpulih.

Sementara itu, Zambry berkata, modul yang dipraktikan di negara jiran itu boleh dijadikan sebagai rujukan bagi membina rumah pada setiap tahun untuk diserahkan kepada rakyat dengan matlamat satu keluarga satu rumah.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri berharap peranan yang dimainkan bahagian itu akan menjadi lebih berkesan selepas ini dan diperluaskan seiring dengan keperluan semasa.

Ditanya bilangan projek rumah yang terbengkalai di Perak, beliau percaya jumlah itu sudah berkurangan berbanding tahun lalu termasuk melalui sokongan dan bantuan baikpulih yang dilaksanakan oleh SPNB.

“Selain baikpulih projek terbengkalai, jumlah pemohon program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diperkenalkan oleh SPNB juga semakin bertambah sedangkan peruntukan yang diterima daripada kerajan Pusat begitu terhad bagi menjayakan projek ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Kamarul Rashdan berkata, sehingga hari ini, SPNB berjaya menyiapkan 82 buah projek yang membabitkan 24,856 unit rumah yang terbengkalai di seluruh negara dengan kos bernilai RM557 juta.

Di Perak sahaja, syarikat itu katanya, berjaya membaikpulih 12 projek yang membabitkan 924 unit rumah dan menerima dana berjumlah RM730 juta untuk pemulihan projek terbengkalai.

SPNB juga turut membina rumah di Taman Lahat Indah, Hulu Kinta membabitkan 224 unit di bawah Program Mampu Milik (RMM), katanya.

“Untuk program RMR pula, kita mensasarkan jualan sebanyak 14,713 unit bagi tahun ini berbanding lebih 44,000 permohonan yang diterima untuk menyertai program berkenaan,” ulasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");