Perak Hari Ini

RM10 sehektar bayaran premium tanah SAR, SUWA dan SJKT

Kerajaan negeri Perak meluluskan kadar premium RM10 sehektar untuk tanah pertanian yang dianugerahkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah Cina persendirian (SUWA) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) bagi tempoh 99 tahun dan berkuatkuasa serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebelum ini, kerajaan negeri menganugerahkan 2,000 hektar tanah pertanian kepada SAR; 1,000 hektar (SUWA) dan 600 hingga 800 hektar (SJKT) bagi tujuan pembangunan pendidikan di Perak.

Katanya, dengan penetapan kadar itu, SUWA misalnya hanya perlu membayar premium tanah sebanyak RM10,117 manakala Perbadanan Ekonomi Islam Perak yang diberi amanah mengurus tanah bagi pihak SAR hanya perlu menjelaskan bayaran sekitar RM20,000 sahaja.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Turun Padang dan Klinik Dr Zambry di Arena Square, Kampung Pengkalan Bharu, dekat  Beruas, hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon bermurah hati untuk menggunakan wangnya sendiri untuk membayar premium tanah SUWA sebagai tanda komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.

“Sebelum ini, soal premium tanah dilihat membebankan dan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membantu sekolah berkenaan.

“Pada mesyuarat exco terbaru, kita telah membuat keputusan bahawa kadar premium tanah bagi ketiga-ketiga projek yang membabitkan SAR, SUWA dan SJKT diselaraskan kepada hanya RM10 sehektar,” katanya.

Kerajaan negeri juga katanya, sudah mengenalpasti tanah pertanian yang akan dianugerahkan kepada sekolah itu yang berletak di selatan Perak, berdekatan Sungkai untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit atau yang bersesuaian.

Dalam perkembangan sama, beliau katanya, sudah mengarahkan Penasihat Khas kepada Menteri Besar, Datuk S Veerasingam untuk mengenalpasti serta menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan sendiri projek yang dianugerahkan kepada SJKT.

“Buat sementara waktu ini, ia akan diuruskan oleh Yayasan Perak dan untuk pelan jangka masa panjang, kita mahu melihat sekolah ini mempunyai jawatankuasa yang melibatkan kaum India bagi menguruskan dana yang diperolehi,” katanya.

Mengulas program Turun Padang dan Klinik Dr Zambry yang diadakan di DUN Pengkalan Bharu, beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan di kawasan itu termasuklah masalah penempatan di tanah yang diduduki, permohonan bantuan melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) dan soal keselamatan yang membabitkan semua kaum.

“Saya cukup berpuas hati kerana semua kaum di sini dapat menghadiri program ini dan mengemukakan masalah mereka untuk dibawa ke pengetahuan pegawai dan agensi berkaitan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");