Perak Hari Ini

Keputusan kecualikan lesen bazar Ramadan disambut baik

Keputusan kerajaan Perak mengecualikan lesen perniagaan di bazar Ramadan menerima reaksi positif daripada golongan peniaga, sekaligus membuktikan keprihatinan pemimpin tertinggi dalam usaha menjaga kesejahteraan serta kebajikan rakyat di negeri itu.

Pada 20 Julai lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan keputusan itu yang menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan lebih RM800,000 hasil kutipan bayaran lesen daripada 15 pihak berkuasa tempatan di negeri itu tahun lalu.

Langkah itu kata Zambry, dibuat bagi memudahkan peniaga berniaga di sepanjang bulan Ramadan serta meraih pendapatan yang berbaloi.

Beberapa peniaga bazar Ramadan Medan Gopeng yang ditemui Peraktoday.com mengalu-alukan keputusan itu dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun mendatang.

Peniaga, Yasmin Khanif, yang pertama kali menjual air minuman di bazar itu berkata, langkah kerajaan di bawah pimpinan Dr Zambry mengecualikan bayaran lesen perniagaan di bazar Ramadan boleh menggalakkan lebih ramai rakyat Perak berniaga di bulan Ramadan.

Katanya, beliau memilih berniaga di bazar Medan Gopeng kerana lokasi itu sering menjadi tumpuan ramai pengunjung yang ingin mencari juadah berbuka puasa.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memansuhkan bayaran lesen perniagaan di bazar Ramadan dan adalah diharapkan ia dapat diteruskan pada tahun mendatang,” ujar Yasmin yang juga merupakan pelakon drama tempatan yang semakin dikenali ramai.

Ditanya sambutan pengungjung setakat ini, beliau menegaskan jualan pelbagai jenis  air minuman amat menggalakkan dan berharap ia akan berterusan sepanjang bulan Ramadan.

“Pengunjung boleh membeli pelbagai jenis air minuman pada harga RM1 hingga RM2  dan antara yang menjadi pilihan ramai ialah air kedondong dan Purple Rain,” katanya yang turut dibantu ahli keluarga ketika berniaga di situ.

Sementara itu, Yusri Zakaria, 43, yang berniaga lauk-pauk di bazar itu pula berkata, pada tahun lalu, beliau membayar RM90 bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Beliau yang sudah lima tahun berniaga di bazar itu berkata, keputusan kerajaan negeri mengecualikan bayaran lesen perniagaan amat dialu-alukan oleh peniaga di negeri itu.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan Perak ini dan mohon ia diteruskan di masa akan datang dan kalau boleh, adalah baik peniaga juga dikecualikan daripada membayar sewa tapak bazar,” katanya yang terpaksa membayar RM420 bagi mendapatkan dua tapak di bazar Ramadan Medan Gopeng.

Bagi Wiwi Saidi, 34, keputusan kerajaan itu adalah satu berita yang menggembirakan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban peniaga terutamanya yang baru pertama kali berniaga di bazar Ramadan.

“Namun, saya berharap agar kerajaan menghadkan jumlah peniaga bazar Ramadan agar tidak terlalu ramai bagi memastikan peniaga mendapat keuntungan yang setimpal dengan modal yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau yang sudah tiga tahun berniaga di situ berkata, selain ayam percik, gerainya turut menjual nasi tomato dan nasi beriani dengan harga antara RM3.50 hingga RM4 sahaja.

“Saya juga bersyukur kerana jualan harian begitu menggalakkan dan setiap hari 200 kg ayam digunakan untuk menyediakan makanan enak ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");