Perak Hari Ini

129,000 Orang Dari 180,000 Ahli Pemuda Umno Berjaya Didaftarkan Sebagai Pemilih Dalam Masa 3 Tahun, Kata Pengerusi Biro Pemilih Dan Keahlian Pemuda Umno

Pergerakan Pemuda Umno berjaya mendaftarkan seramai 8,000 orang lagi ahli Pemuda sebagai pemilih dalam pilihanraya umum akan datang sepanjang bulan puasa hingga sambutan Hari Raya minggu lepas, kata Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno, Hisamuddin Yahya.

Menurutnya, berikutan prestasi yang amat memberansangkan itu, sasaran Pemuda Umno untuk mendaftarkan baki seramai 59,000 ahli yang belum mendaftar dapat dicapai menjelang September depan.

“Sepanjang bulan puasa hingga sambutan Hari Raya minggu lepas, kita (Pemuda Umno) berjaya mendaftar seramai 8,000 oran g lagi ahli yang belum mendaftar sebagai pemilih.

“Ini bermakna, hanya tinggal kira-kira 51,000 orang lagi dari 180,000 ahli yang sebelum ini tidak layak mengundi dalam pilihanraya umum,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Umno Bahagian Parit di Dataran Parit semalam.

Menurutnya, Sabah masih lagi berada di tempat teratas mencatatkan jumlah ahli paling ramai yang masih belum mendaftar sebagai pemilih itu kira-kira sebanyak 21%, manakala Perak dan Selangor masing-masing berada di bawah kadar paling rendah iaitu sekitar 9%.

Hisamuddin yang juga Exco Pemuda Umno berkata, bagi menyelesaikan masalah pendaftaran ahli sebagai pemilih di Sabah , pihaknya telah pun mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda Umno Sabah, Awang Kading pada 26 Ogos lalu.

“Hasil pertemuan itu, Awang berjanji untuk bekerja keras mencari jalan bagi mendaftarkan seramai kira-kira 20,000 ahli mereka di sana sebagai pemilih berdaftar.

“Menjelang September depan, mereka (Pemuda Sabah) mensasarkan sekurang-kurangnya 50% atau seramai 10,000 ahli mereka dapat didaftarkan,” katanya.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran tersebut, semua Ketua Pemuda Umno Bahagian dan cawangan di Sabah diminta supaya melaporan sebarang kesulitan yang timbul dengan kadar segera kepada Ketua Pemuda negeri untuk diselesaikan.

Hisamuddin berkata, pihaknya juga bercadang untuk menghantar sepasukan ahli ke Sabah bagi membantu mereka menjalankan kerja-kerja mendaftarkan ahli di sana yang berselerakan termasuk di kawasan pendalaman. – Nooraini Mahamad

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");