Perak Hari Ini

Bekas polis, askar kecewa dengan Mat Sabu

ULU KINTA – “Saya berjuang demi keamanan negara kerana saya salah seorang rakyat Malaysia,” luah bekas Askar Melayu Diraja, Suparman Taib, 56, yang terlibat dalam mengekang kemaraan komunis di Kroh, Pengkalan Hulu pada tahun 1981.

Beliau kehilangan kaki kiri dari paras lutut akibat terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis ketika membuat rutin rondaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) seharusnya memohon maaf secara terbuka kepada rakyat di negara ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mat Sabu memang tak faham sejarah dan beliau harus faham, fakta tidak boleh diubah. Kehilangan kaki ini bukti perjuangan askar dan polis dalam mempertahankan negara dan keamanan hari ini bukti perjuangan rakan kami terdahulu.

“Jangan berjuang untuk politik sehingga menimbulkan situasi keruh dalam kalangan masyarakat. Semua kaum berjuang ketika itu. Bercakap biar berasas,” tegasnya.

Sementara itu, seorang bekas anggota Komando Vat 69, Sub Inspektor Alias Sulaiman, 62, berasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu yang dilihat hanya bercakap untuk kepentingan politiknya.

Katanya, Mat Sabu telah meracuni fikiran anak muda dengan ‘menghitamkan’ fakta sejarah sebenarnya.

“Saya rasa marah kerana ketika berkhidmat 12 rakan seperjuangan maut di depan mata selepas diserang komunis. ‘Cubit peha kanan, peha kiri terasa’. Dia (Mat Sabu) tidak tahu perit dan sakitnya kami. Tetapi kami masih boleh mempertahankan kemerdekaan negara.

“Dia lupa bahawa dia selamat dan mempunyai kedudukan sebagai Yang Berhormat (YB) kini kerana wujudnya bekas-bekas polis dan askar seperti kami,” katanya.

Seorang balu bekas anggota polis hutan, Lim Gaik Suan, 74, berkata, kenyataan Mat Sabu menunjukkan beliau adalah pemimpin komunis yang melabelkan polis sebagai alat British.

“Suami, Koperal Ooi Soo Min, 65, telah berkhidmat dalam unit logistik untuk membantu pasukan lain di Kroh, Pengkalan Hulu. Kenderaannya diserang oleh komunis dan kemudian ditembak lagi sekali untuk memastikan tiada anggota polis yang hidup.

“Suami saya ketika itu selamat apabila helahnya yang pura-pura mati berjaya,” katanya.

Lebih 30 bekas anggota polis dan askar serta balu anggota polis hutan yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban berkumpul membantah kenyataan Mat Sabu yang menjadikan pengganas komunis sebagai hero dan menghina 25 anggota polis yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Ulu Kinta di sini, semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");