Perak Hari Ini

Tak setuju caj enam peratus perkhidmatan

Kerajaan Negeri menggesa syarikat telekomunikasi (telco) menangguhkan hasrat mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon pra-bayar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu dan tidak menyokong perlaksanaan cadangannya yang akan memberi kesan kepada rakyat.

Menurutnya, pihaknya menyokong penuh saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan syarikat telco memberi fokus utama mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan menambah beban.

“Kita kena fikir bebanan yang ditanggung oleh pengguna prabayar ini kerana yang menggunakannya adalah golongan berpendapatan rendah, termasuk budak sekolah untuk tujuan penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Lumut dan Parlimen Lumut di Dewan Perbandaran Manjung, semalam.

7 September lalu, syarikat-syarikat telekomunikasi mengumumkan cukai perkhidmatan enam peratus akan dikenakan ke atas pembelian tambah nilai prabayar, pek atau kad SIM prabayar berkuat kuasa 15 September ini.

Sementara semalam, Najib menyatakan rasa keprihatinannya terhadap isu itu dan satu pengumuman mengenainya akan dibuat sedikit masa lagi.

Mengulas lanjut mengenai gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang mahu kerajaan campurt angan dalam perkara ini, kata Zambry, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang syarikat telco melaksanakan strategi perniagaan.

“Apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan prinsip ekonomi dan amalan pasaran yang ada peraturannya tersendiri.

“Tetapi kerajaan akan ambil kira perkara ini sebelum tindakan dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai disaran menggunakan kuasa pengguna sekiranya perundingan kerajaan dengan syarikat telco tersebut masih gagal.

“Jika mereka masih nak teruskan juga, saya percaya sebagai pengguna, masyarakat mempunyai pilihan lain yang sesuai dengan mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");