Berita Hari Ini

Saman Utusan, lebih ramai saman Mat Sabu

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu diingatkan supaya jangan angkuh dengan keputusan untuk menyaman akhbar Utusan Malaysia yang melaporkan ceramah beliau berkaitan peristiwa Bukit Kepong sehingga mengundang kemarahan banyak pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana lebih banyak pihak yang akan menyaman pemimpin Pas itu ekoran keceluparannya mengangkat komunis sebagai hero dalam tragedi Bukit Kepong.

“Biarlah dia hendak saman, itu hak dia. Mungkin dia ingat, dia betul, tetapi, saya ingin mengingatkan dia, dia saman Utusan.., lepas ini lebih ramai yang akan saman dia. Itu dia tak tahu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Chenderoh di padang Sekolah Kebangsaan Temung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kata dua Mohamad atau Mat Sabu ke atas Utusan Malaysia supaya memohon maaf atau berdepan tindakan saman.

Nazri berkata, Mat Sabu kini sudah terperangkap atas sikapnya yang suka bercakap mengikut kehendak hati.

Malah jelasnya, Pas sendiri terperangkap kerana terpaksa mempertahankan Timbalan Presiden mereka.

”Jadi bila sudah terperangkap, hendak saman Utusan, sedangkan Utusan melaporkan perkara benar,” katanya.

Ditanya mengapa Peguam Negara masih belum mengambil tindakan sedangkan sudah banyak laporan polis dibuat, Nazri berkata, perkara itu memerlukan penelitian mendalam.

“Lagipun kalau keluarga mangsa Bukit Kepong buat laporan polis, ia sebenarnya lebih banyak membantu untuk kita mengambil tindakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");