Perak Hari Ini

Bandar Raya Seribu Taman

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini melancarkan projek pertama ‘Bandar Raya Seribu Taman’ yang bermatlamat membangunkan lebih banyak kawasan hijau bagi tujuan rekreasi di bandar raya ini.

Melalui kempen itu, MBI akan mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan jawatankuasa penduduk untuk mengenalpasti lokasi sesuai bagi membangunkan taman berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, ketika ini terdapat hampir 1,400 kawasan lapang di seluruh bandar raya dengan keluasan 822 hektar.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya 500 kawasan lapang telah dibangunkan sebagai taman rekreasi dan permainan kanak-kanak bagi manfaat penduduk setempat.

“Dalam usaha menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar raya taman yang mesra alam, dipenuhi dengan kehijauan dan landskap menarik, penglibatan semua pihak terutama pemaju amat diperlukan.

“Jika dikenal pasti lokasi bersesuaian dan ada kerjasama dari penduduk, pemaju, persatuan serta jawatankuasa penduduk, saya yakin lebih banyak taman rekreasi mini mampu diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan projek pertama ‘Bandar Raya Seribu Taman’ di perumahan Station 18 Residency di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng He dan para pegawai kanan MBI.

Melalui projek perintis itu, Keris Properties membelanjakan RM400,000 bagi melengkapkan kemudahan taman rekreasi mini yang dibangunkan di atas kawasan lapang seluas 1.1 hektar itu.

Dalam pada itu, Roshidi memuji usaha Keris Properties membangunkan kawasan berkenaan dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan rekreasi.

”Selain ditanam dengan ratusan jenis pokok, taman rekreasi mini ini dilengkapi pelbagai kemudahan riadah seperti trek joging, laluan refleksologi, kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan stesen peralatan senaman.

“Bagi menghidupkan taman rekreasi mini pada waktu malam, MBI bersedia memasang empat lampu limpah dan saya berharap kemudahan ini digunakan sebaik mungkin oleh penduduk di sini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");