Isu Panas

MB Selangor: Jawatankuasa khas teliti SOP Jais susulan isu gereja

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar agensi itu dapat memantau cubaan mahu memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan.

Jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh tokoh perundangan dan pakar agama selain pegawai kanan kerajaan yang mana nama-nama mereka akan diumumkan kelak.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyusul titah Sultan Selangor pagi tadi bahawa tiada pihak yang akan didakwa berhubung isu Gereja Methodist Damansara Utama yang menjadi sasaran tindakan Jais pada 3 Ogos lalu ekoran dakwaan bahawa ada usaha memurtadkan umat Islam.

Sebaliknya Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Jais akan mengadakan sesi kaunseling kepada 12 Muslim yang menghadiri majlis kesyukuran yang dianjurkan di gereja itu pada tarikh tersebut.

“Selepas meneliti dengan mendalam laporan disediakan oleh Jais dan selepas memperoleh nasihat daripada pihak berkuasa agama dan pakar perundangan, kami memutuskan bahawa tiada pendakwaan akan dikenakan ke atas mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun titah baginda, merujuk kepada siasatan Jais, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam tetapi keterangan yang diperoleh tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

“Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak Jais dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

“Walau bagaimanapun beta menitahkan Jais memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipulihkan,” titah baginda.

Dalam kenyataannya Khalid menambah, kerajaan negeri menghormati titah Sultan Selangor berhubung laporan pemeriksaan terhadap Dream Center di Damansara Utama yang telah diperiksa oleh Jais.

“Kerajaan negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia amnya.

“Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung,” kata Khalid.

Beliau menambah bahawa kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu ini, sebaliknya insiden itu memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Jais dan pengumpulan bukti.

– The Malaysian Insider

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");