Perak Aman Jaya, Perak Hari Ini

Portal Jobs Perak dan Skuad Ronda Jobs Perak, inisiatif PEKA bantu pencari kerja

PUSAT Kerjaya Amanjaya (PEKA) yang dikendalikan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) baru-baru ini melancarkan dua inisiatif, yakni laman portal Jobs Perak dan Skuad Ronda Jobs Perak bagi membantu pencari kerja mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran masing-masing.

Kedua-dua inisiatif itu bukan sahaja diyakini mampu membantu pencari pekerja tetapi juga dapat memudahkan para majikan mencari pekerja yang bersesuaian dengan jawatan yang ditawarkan pihak syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Aminuddin Hashim berkata, sejak dilancarkan pada 21 Mac lalu, sambutan yang diterima daripada pencari kerja di seluruh negeri amat positif dan begitu memberangsangkan.

Buat pertama kalinya, PEKA katanya, telah menganjurkan Karnival Pekerjaan dan Karier Perak Amanjaya dengan kerjasama Pemuda BN Perak di Dataran Ipoh, pada 1 dan 2 Oktober lalu.

Katanya, lebih 25,000 pengunjung mengunjungi karnival itu dengan sasaran menawarkan 5,000 peluang pekerjaan.

“Sebanyak 108 majikan turut mengambil bahagian dalam karnival itu, sekaligus membuktikan sokongan sektor swasta dalam membantu kerajaan negeri menjayakan gagasan Perak Aman Jaya yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya kepada Peraktoday.com hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, melalui inisiatif yang diperkenalkan itu, rakyat Perak dapat menikmati peluang yang berkualiti, seiring dengan dua lagi matlamat gagasan Perak Amanjaya iaitu kehidupan dan pendapatan berkualiti.

Menurutnya, laman portal Jobs Perak memberi peluang kepada pencari pekerja yang terdiri lulusan institusi pengajian tinggi awam, swasta atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendaftar dengan pusat itu tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Portal itu katanya, turut menjadi platform kepada majikan untuk mencari pekerja yang dikehendaki kerana pencari pekerja perlu memberi segala butiran peribadi dan kelulusan apabila mendaftar dengan Jobs Perak.

“Sehingga hari ini, kita telah berjaya mendaftarkan 4,515 pencari kerja di negeri Perak dan kira-kira 89 majikan turut mengambil bahagian untuk menjayakan inisiatif ini dengan keseluruhan lebih 13,000 peluang pekerjaan ditawarkan,” kata Aminuddin lagi.

Bagi menarik perhatian majikan, si pencari kerja katanya, boleh memuat turun gambar atau video dan tidak hanya tertumpu dengan memberi maklumat berkaitan butiran peribadi dan kelulusan akademik semata-mata.

Ditanya pula mengenai rasional penubuhan Skuad Ronda Jobs Perak, Aminuddin berkata, kerajaan negeri begitu peka dengan beban atau kesukaran yang dihadapi pencari kerja terutamanya dari luar bandar untuk datang ke bandaraya Ipoh semata-mata untuk mendaftar dengan pusat berkenaan.

Sehubungan itu, Skuad Ronda Jobs Perak katanya, akan turun padang di 48 kawasan di seluruh Perak bagi mendekati serta memberi peluang kepada pencari kerja untuk berdaftar dengan pusat itu.

Lokasi pertama yang dipilih skuad itu ialah Bukit Gantang, dekat Taiping, bermula esok, kata Aminuddin lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dalam tempoh enam bulan akan datang, skuad itu bukan sahaja akan berada di lokasi membabitkan program turun padang di setiap daerah tetapi juga mengunjungi pusat pengajian tinggi awam, swasta dan sekolah-sekolah bagi mendedahkan golongan pelajar dengan peluang kerja yang ditawarkan di Perak.

Setiap tahun, lebih 20,000 pelajar IPTA dan IPTS di Perak menamatkan pengajian mereka, sekaligus menjadikan negeri itu pengeluar terbesar modal insan di luar Lembah Klang, katanya.

Oleh itu, IDR tegasnya, telah meletakkan sasaran mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan di Perak pada setiap tahun, sekaligus menjana pendapatan tambahan RM1.5 bilion kepada negeri.

Bagi mencapai matlamat dan sasaran itu, PEKA katanya turut memberi latihan penampilan diri dan kursus Bahasa Inggeris kepada pencari kerja bagi meningkatkan tahap keyakinan mereka ketika sesi temuduga.

Menyentuh perancangan masa depan pusat itu, Aminuddin berkata, pihaknya sedang mengumpulkan seniman di bawah satu bumbung dikenali Kampung Karyawan yang memperjuangkan pelbagai genre seperti lukisan, kraftangan dan kemahiran warisan termasuklah tekat, kompang dan dabus.

“Melalui Kampung Karyawan ini, kita mahu mewujudkan lebih banyak perusahaan berasaskan seni tempatan, sekaligus turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri.

“Selain itu, program usahawan francais membabitkan golongan muda dan Skim Latihan 1Malaysia akan diperkenal dan diteruskan oleh PEKA bagi menyediakan peluang berkualiti kepada pencari kerja di Perak,” katanya lagi.

Sementara itu, Nor Azlia Ahmad, 23, dari Hulu Kinta, menyambut baik penubuhan PEKA yang dilihat mampu memudahkan pencari kerja mencari pekerjaaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka.

Pemegang diploma Kimia Industri dari UiTM Arau, dekat Perlis itu berkata, beliau tidak bekerja sejak Mei lalu dan kini sedang mencari pekerjaan yang sesuai di Perak.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah kilang di Selangor sebelum menceburi sektor perhotelan tetapi sudah berhenti kerja sejak Mei lalu.

“Selepas berdaftar dengan Jobs Perak ini, saya berharap peluang saya untuk mendapat pekerjaan dalam bidang bersesuaian akan menjadi lebih cerah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");