Perak Hari Ini

Usahawan Perlu Berfikiran Kreatif – Ahli Parlimen Parit

PARA usahawan digesa supaya sentiasa berfikiran kreatif bagi memastikan perniagaan yang diceburi lebih maju dan tidak berada di takuk lama, kata Ahli Parlimen Parit, Drs. Mohd. Nizar Zakaria.

Menurutnya, mereka juga perlu mempunyai keyakinan serta ketahanan diri untuk bersaing antara satu sama lain.

“Para usahawan perlu berusaha bersungguh-sungguh dan menggunakan kepandaian atau kreativiti masing-masing untuk berjaya.

“Jangan berada di takuk lama sahaja kerana mereka harus pandai mengambil hati pelanggan supaya perniagaan yang dijalankan akan terus berkembang,” katanya di Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional di Parit.

Sebanyak RM52,000 pinjaman diserahkan kepada lima usahawan sekitar Parlimen Parit.

Menurutnya, usahawan Melayu juga perlu mengambil contoh usahawan berbangsa lain dalam menjalankan perniagaan supaya mereka mampu mencari alternatif terbaik untuk mengembangkan perniagaan.

“Kita perlu belajar banyak perkara dan jangan hanya mengharapkan ilmu yang ada sahaja kerana antara usahawan sendiri boleh memainkan peranan dengan bertukar-tukar ilmu perniagaan,” katanya.

Di Parlimen Parit terdapat seramai 418 usahawan yang menggunakan pinjaman daripada Tekun Nasional.

Sehingga Oktober lalu, pihak Tekun telah memberi pinjaman bernilai RM350,000 kepada usahawan di sekitar kawasan Parlimen Parit.

Sementara itu, seorang peminjam Tekun Nasional, Norbidawimunir Arshad, 42, berkata, beliau yang mempunyai perniagaan pakaian telah memohon pinjaman selama enam bulan daripada Tekun.

“Pinjaman yang saya terima ini akan digunakan untuk membeli peralatan kedai saya yang masih lagi tidak mencukupi selain menambah modal perniagaan.

“Sekurang-kurangnya pinjaman sebanyak RM10,000 ini dapat membantu saya mengembangkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya.

Katanya, itu adalah kali pertama beliau membuat pinjaman daripada Tekun dan berazam membayarnya kembali mengikut tempoh yang dijanjikan. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");