Program Basmi Kemiskinan

Lebih 100 rumah terlibat banjir kilat

KUALA KANGSAR: Tidak sampai setengah jam, lebih 100 rumah di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar dilanda banjir kilat pada malam 3 November lalu.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kampung Kolam Air, Taman Talang , Simpang Lawin dan beberapa lagi lokasi berhampiran.

Pelbagai faktor didakwa penduduk menjadi punca kepada masalah banjir di Kolam Air dan Taman Talang, antaranya sistem saliran serta perparitan tidak sistematik selain projek pembinaan yang sedang dibangunkan di kawasan sekitar.

Seorang penduduk, Ng Sai Peng, 58, berkata, masalah banjir kilat bukan perkara baru kepada mereka dan ia menjejaskan pendapatannya sebagai pemilik kilang rotan.

Menurutnya, setiap tahun dia kehilangan beribu-ribu ringgit akibat banjir yang menyebabkan barangan kilangnya rosak.

“Boleh dikatakan setiap tahun, dua kali banjir akan berlaku tetapi kali ini adalah paling teruk dan saya mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

“Pernah suatu ketika, kerugian dialami lebih teruk dan masalah ini timbul kerana pihak berwajib tidak menjalankan kerja pembersihan longkang secara berkala menyebabkan ia tidak mampu menampung air,” katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin, di Kolam Air, di sini.

Hadir sama, Adun Manong, Datuk Ramly Zahari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Abd Halim Abd Hamid; Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Azizul Rahim; Penyelarasan BN Padang Rengas, Kamaruzzaman dan Wakil Gamuda serta MCA.

Katanya, diharap pihak berwajib mengambil tindakan segera, dengan membersihkan kawasan longkang walaupun hanya sekali setahun.

– Rumah tenggelam paras pinggang

Penduduk, R Poongothai, 48, pula mendakwa rumahnya ditenggelami air sehingga paras pinggang berikutan projek pembinaan yang dijalankan Gamuda.

“Satu jam lebih air belum surut sehingga hujan berhenti dan longkang di kawasan sekitar tidak dapat menampung air.

“Saya percaya banjir kilat ini berlaku kerana projek pembinaan yang sedang dijalankan dan kerana masalah ini, kami mengalami kerugian harta benda,” katanya.

Manakala, Pengerusi Parti Gerakan Cawangan Kolam Air, Goh An Leang berkata, ramai penduduk merungut dan mengadu kepadanya mengenai masalah itu selain mengharapkan penyelesaian.

“Barang penduduk banyak rosak dan mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang kerana air naik dengan cepat.

“Sebelum ini pernah berlaku banjir tetapi kali ini adalah yang terburuk,” katanya.

– Aduan dibuat, tindakan tiada

Sementara itu, penduduk Simpang Lawin mulai berang apabila sudah beberapa aduan dibuat tetapi tiada sebarang tindakan drastik dilakukan oleh pihak pemaju yang menjadi punca kepada masalah banjir.

Penduduk, M Ravindran, 38, berkata, dia terpaksa berdepan kerugian yang banyak setiap kali banjir dan kali ini antara terburuk kerana segala barangan di dalam rumah rosak termasuk sebuah kereta turut ditenggelami air.

“Air naik dengan begitu cepat dan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang dan hanya mampu lihat sahaja ia musnah.

“Masalah ini timbul kerana projek perumahan yang dijalankan di kawasan berhampiran tidak dibina sistem saliran air secara sistematik dan laluan air menghala ke rumah penduduk di bawah.

“Bukan sahaja rumah tetapi hasil tanaman penduduk juga musnah setiap kali banjir dan kami amat tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat, mesyuarat sudah dilakukan tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku.

Penduduk, Goh Eng Joo, 40, turut berdepan masalah yang sama dan habis kesemua barangan elektrik dan perabot di rumahnya rosak.

“Kami terpaksa menanggung kerugian tetapi pihak berwajib tidak dapat bantu apa-apa untuk menyelesaikannya.

“Banjir berlaku pada waktu malam, kami terpaksa tidur di luar dan mencari hotel berdekatan serta memerlukan masa yang lama untuk membersihkan rumah,” katanya.

– Lakukan lawatan, hulur bantuan

Bagaimanapun, bagi mengenal pasti punca yang didakwa penduduk dan melihat sendiri keadaan di lokasi kejadian, pemimpin masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lepas tangan serta melakukan lawatan kerja di kawasan berkenaan.

Ramly berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk dan berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

“Setiap lokasi dan tempat yang dikatakan penduduk menjadi punca kepada masalah banjir akan kami lawati dan agensi berkaitan juga hadir untuk melihat sendiri masalah itu.

“Setiap rumah yang ditimpa banjir akan menerima bantuan sebanyak RM300 supaya mereka dapat membeli barangan keperluan dan mengurangkan beban,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");