Kolumnis

Manifesto Pembangkang Entah Kemana, Janji Tak Dilaksana… Ceramah Jadi Ganti

Melepaskan pucuk masing-masing

KUALA LUMPUR, 1 Nov. – Pakatan pembangkang telah diberi mandat oleh rakyat untuk berkerajaan di empat buah negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dengan penggal pentadbiran tersebut seharusnya menjadi kayu pengukur kepada kemampuan sebenar berkerajaan.

Pengalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat sepanjang tempoh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada Mac 2008 sehinggalah ke hari ini dapat dilihat bahawa mereka menunjukkan sikap seakan ‘lebih sudu dari kuah’ sebagaimana justifikasinya melihat apakah penambahbaikan yang dibuat berbanding dengan kerajaan terdahulu.

“Untuk mengukur apa yang dilakukan oleh kerajaaan pembangkang ini kita melihat sejauh manakah manifestasi daripada manifesto yang telah dipenuhi oleh mereka sedangkan sebelum mendapat kuasa mereka telah membuat pelbagai tuduhan kepada kerajaan terdahulu,” katanya.

Jelas beliau, jika sebelum ini pembangkang lantang mengkritik kerajaan terdahulu dengan pelbagai manipulasi sehinggakan kononnya tidak ada pembangunan di negeri-negeri terbabit tetapi kemudiannya apabila mereka berkuasa perkara lebih teruk yang berlaku.

“Kita lihat bagaimana kerajaan BN yang sebelum ini mentadbir di Selangor telah mengaplikasikan satu komputer untuk satu rumah dan kemudiannya apabila pakatan pembangkang mengambil alih semuanya tidak diteruskan lagi selain pelbagai projek pembangunan yang terbengkalai.

“Apa yang rakyat dapat lihat hari ini pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang lebih suka berceramah dan melakukan ‘roadshow’ ke seluruh negara dengan memburuk-burukkan kerajaan pusat berbanding melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengutamakan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Tegas beliau yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerajaan pembangkang telah gagal sebagai pemimpin apatah lagi untuk memastikan keselesaan rakyat terjamin.

“Kita lihat pembangkang lebih cenderung menuding jari kepada kerajaan pusat dalam pelbagai aspek waima projek-projek pembangunan dan infrastruktur tempatan terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dengan seliaan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Pembangkang bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia tetapi mereka sendiri tidak sensitif dengan permasalahan rakyat apatah lagi untuk memperbetulkan kepincangan dalaman di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam hal ini, beliau mengambil analogi mudah misalnya kawasan perumahan yang mula terbiar dengan rumput panjang, lampu jalan tidak diselia, jalan-jalan berlopak dan tar yang tidak bertampal.

“Saban hari rakyat menggunakan semua kemudahan yang ada tetapi di kawasan Selangor sendiri khususnya di sekitar Bangi, Shah Alam, Kajang, Klang dan beberapa kawasan lain, boleh dilihat bahawa jalan-jalan raya tarnya telah lama yang menunjukkan bahawa ini adalah daripada kerja-kerja kerajaan terdahulu iaitu BN sedangkan kerajaan negeri hari ini hanya mendapat nama sahaja,” tegasnya.

Tambahnya, janji-janji pembangkang kepada pengundi sebelum PRU-12 kononnya akan memakmurkan rakyat dan menjadi sebuah negara yang berkebajikan tetapi ternyata ianya tidak menjadi realiti.

“Jika selama ini pakatan pembangkang hanya tahu mengkritik dan memburukkan kerajaan BN maka kenapa tidak mereka mengubah perkara-perkara yang kononnya dapat diperbaiki dengan bermula di negeri-negeri tadbiran mereka misalnya meminta para peniaga di pasar-pasar negeri terbabit memberikan harga rendah dan harga makanan juga dilakukan pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Tambahnya, sewajarnya apabila pembangkang mengkritik kerajaan pusat maka tentunya mereka akan melaksanakan lebih baik daripada BN tetapi sebaliknya yang berlaku apabila di negeri-negeri pembangkang khususnya Selangor yang menyaksikan lebih banyak pusat-pusat hiburan dibuka selain kegiatan vcd haram juga turut menular.

“Bukankah dulu pembangkang yang melaungkan untuk negara Islam dengan mengkritik lantang apa saja yang dilaksanakan tetapi rakyat sendiri tentunya dapat menilai bagaimana mereka tidak mengendahkan hal-hal sensitiviti antara kaum dalam masyarakat sehingga sanggup mempolitikkan agama Islam, kedudukan orang Melayu dan juga cubaaan mengheret sistem kesultanan sebagai isu politik.

“Setahu saya, kerajaan pembangkang ini mempunyai pakar-pakar dalam pelbagai bidang malahan ada diantara Exconya sendiri bijak dalam pengurusan selain mempunyai penasihat ekonomi sendiri tetapi peliknya kenapa masih ada lagi di kalangan rakyat yang masih tertinggal dan tidak mendapat pembelaan.” – MediaUMNO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");