Perak Hari Ini

Operasi Maritim Malaysia-Indonesia Di Selat Melaka Berakhir Semalam

Sebanyak 251 buah kapal dagang dan bot yang melalui Selat Melaka diperiksa oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Indonesia sepanjang tempoh Operasi Bilateral dari 17 Okt hingga semalam.

Jurucakap Pusat Penyelarasan Penguatkuasaan Maritim (PPPM) APMM, Shamala Devi Ramamothi berkata operasi tahunan itu dinamakan Patkor Optima (Patroli Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim) dan kali ini diselaraskan PPPM Lumut.

“Objektif utama operasi adalah untuk menguatkuasakan undang-undang maritim dengan berkesan serta menjalinkan kerjasama dari segi perhubungan dan permuafakatan di antara semua agensi terbabit.

“Di dalam operasi ini, kita berjaya mewujudkan persefahaman dan kerjasama erat antara agensi penguatkuasa kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Shamala Devi berkata operasi itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan yang dijalankan di Pelabuhan Klang pada 18 dan 19 Okt, operasi di laut dari 20 hingga 30 Okt dan fasa terakhir di Kelang dari 30 Okt hingga 2 Nov.

“Daripada kesemua pemeriksaan yang dibuat, sebanyak empat buah bot dan dua buah kapal ‘barter trade’ dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan dan Akta Kastam dan telah ditahan,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan tiga kapal dan lima bot APMM, dua bot laju Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta tiga helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia, Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APMM sendiri.

Manakala pihak Indonesia disertai enam buah kapal Tentera Laut Indonesia, Polis, Kastam dan Jabatan Laut.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");