Berita Hari Ini

SPRM tak boleh siasat kes beli kondo, serah kepada polis

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata agensi itu tidak boleh menyiasat kes pembelian kondominium menggunakan dana projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sebaliknya menyerahkan polis.

Katanya aduan berkaitan hanya boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata setelah diteliti aduan diterima minggu lalu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan telah mengaklasifikasikan perkara tersebut di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa suruhanjaya sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).

“Sehubungan itu, SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak polis. Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM 2009,” kata suruhanjaya.

Kenyataan itu berkata SPRM ingin merujuk kepada laporan beberapa media yang tersiar berhubung dengan NFC dan satu aduan telah diterima daripada orang ramai berhubung dengan isu pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta yang dikatakan menggunakan wang NFC.

Aduan ini telah dirujuk kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

“Tindakan telah diambil dengan merujuk aduan ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia. Pengadu telah pun dimaklumkan berkenaan keputusan tersebut dan beliau bersetuju dengan tindakan SPRM,” kata kenyataan itu lagi.

Khamis lalu, PKR mendakwa NFC telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");