Perak Hari Ini

500 Anggota APMM Sertai Eksesais Penguatkuasaan Maritim, Uji Kemampuan Anggota Dan Aset

SERAMAI 500 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyertai satu eksesais khas bagi menilai kemampuan serta meningkatkan kecekapan aset milik agensi maritim.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, eksesais bermula pada 10 Disember dan berakhir hari ini melibatkan penyertaan sebanyak 13 buah kapal dan dua pesawat.

Menurutnya, eksesais tersebut diadakan di perairan utara Selat Melaka dari Pulau Langkawi melalui Pulau Perak dan Pulau Jarak hingga ke Lumut.

Ahmad Puzi berkata, latihan itu dapat memberi impak cukup baik kepada ekonomi negara khas kepada aktiviti perdagangan antarabangsa yang menggunakan laluan tersebut.

“Kita juga mahu menunjukkan kehadiran di perairan Selat Melaka bukan sahaja kapal malahan melibatkan aset lain termasuk penggunakan sistem awasan laut yang APMM miliki.

“Dari segi teknikalnya pula kita dapat melihat bagaimana ketahanan aset yang dimiliki dalam melaksanakan tanggungjawab dan pelaksanaan tugas yang diberikan selain memberi bantuan sokongan dari segi pembaikkan kapal sepanjang latihan itu dijalankan,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Penutupan Eksesais Maritim Perkasa 2/2011 di sini, Khamis.

Hadir sama, Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Eksesais, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Hasan Jusoh dan Pengarah Cawangan Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Amin Zammani.

Menurutnya, latihan itu juga turut dihadiri oleh 13 orang penjawat awam bukan beruniform bagi menilai sendiri kerja-kerja di perairan.

“Secara tidak langsung mereka (penjawat awam) ini akan lebih memahami tugas anggota dan diharap mampu memberikan sokongan serta kerjasama kerana kita tidak boleh bekerja sendirian tanpa sokongan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Puzi berkata, sejak 2006 hingga 2010 terdapat penurunan kadar perlakuan jenayah di laut iaitu daripada 47.22 peratus pada tahun 2006 kepada 4.23 peratus pada 2011 ini.

Menurutnya, dari segi hasil pula, sebanyak RM23,705,501 telah berjaya dikutip menerusi denda, kompaun dan lelong bermula tahun 2006 hingga November lalu. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");