Program Basmi Kemiskinan

Ban Pecah Musnahkan Tanaman Kelapa Sawit dan Pisang di Batu 9, Changkat Jong

KIRA-KIRA 161 hektar tanaman kelapa sawit, tanah pertanian, termasuk kawasan kampung dan kilang berdepan dengan kejadian banjir berikutan ban pencegah banjir bersempadan dengan Sungai Mati, Batu 9, Changkat Jong, Hilir Perak pecah sejak setahun lalu.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Batu 9, Changkat Jong, Ahmad Baharom, 59, berkata, ban sepanjang lapan kilometer itu dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak sejak 10 tahun lalu dan hanya ditambak dengan tanah sahaja tanpa dikonkrit.

Menurutnya, terdapat empat kawasan yang menghadapi masalah tanah runtuh dalam sungai yang menjadi punca air banjir mudah masuk ke kawasan rendah.

“Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila berlaku hujan lebat selama beberapa hari yang mungkin mengakibatkan air sungai naik selain melimpah masuk ke kawasan sasaran.

“Pada tahun ini sahaja, telah berlaku dua kali kejadian banjir di kawasan rendah dan berlarutan sehingga dua minggu,” katanya.

Ahmad berkata, penduduk berharap JPS segera memantau dan memperbaiki atau membina semula ban yang pecah kerana sepanjang Disember ini, dijangka akan berlaku musim tengkujuh.

Menurutnya, akibat kejadian banjir, pemilik kebun kelapa sawit dan tanaman pisang akan mengalami kerugian kerana tidak dapat mengutip hasil.

“Pihak JKKK telah menghantar memorandum kepada JPS baru-baru ini dan meminta segera memperbaiki ban yang pecah.

“Tetapi JPS memberi alasan tidak ada peruntukan bagi kerja baik pulih ban yang pecah itu,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 10 tahun lalu, sudah tiga kali ban itu dinaik taraf dan ditambak dengan tanah tetapi ia tidak dapat bertahan lama.

“Tekanan air sungai yang deras terutama selepas hujan lebat menyebabkan ban mudah roboh dan berlaku hakisan sepanjang tebing,” katanya.

Katanya, pemilik kebun kelapa sawit terutamanya mengalami kerugian apabila tanaman mereka terendam disebabkan air sungai melimpah masuk.

“Saya berharap agar pihak berkenaan boleh mengambil tindakan dengan segera bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah penduduk di sini,” katanya. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");