Program Basmi Kemiskinan

Desak MBI selesai masalah

Kebimbangan dan rasa tidak puas hati penduduk Taman Desa Impian, dekat Bercham berhubung masalah banjir sejak 17 tahun lalu berlanjutan apabila masalah itu masih tidak diselesaikan.

Adun Bercham, Sum Cheok Leng berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat kerana tidak berpuas hati dengan penyelenggaraan yang dibuat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di kawasan perumahan itu.

Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu mengapa MBI tidak memberi perhatian serius kepada masalah banjir yang berlaku di sini, sedangkan penduduk tetap membayar cukai taksiran.

“Penduduk tidak boleh dianiayai seumpama ini kerana mereka juga memerlukan jaminan dari segi keselamatan ketika tinggal di rumah masing-masing.

“Kini mereka terpaksa berhadapan dengan masalah banjir yang tiada penyelesaian selain menanggung kerugian berikutan banyak barang-barang rumah rosak akibat ditenggelami air,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Taman Desa Impian, di sini semalam.

Beliau berkata, difahamkan peruntukkan hampir RM7 juta telah dibelanjakan bagi membina beberapa projek untuk mencegah banjir di kawasan taman perumahan itu, namun ia tidak berhasil kerana penduduk masih berdepan dengan masalah sama sejak sekian lama.

“Dalam kejadian terbaru 10 Disember lalu, tembok longkang yang berada di kawasan perumahan ini telah runtuh kerana tidak mampu menampung jumlah aliran air yang banyak dan deras.

“Kejadian jam 5 petang itu mengakibatkan tembok longkang sepanjang 100 meter yang dibina runtuh, sedangkan peruntukkan untuk membinanya tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Ahli Parlimen Ipoh Barat, RK Muthu berkata, pihaknya dan keseluruhan penduduk di sini ingin mendesak MBI untuk bertanggungjawab terhadap kejadian yang telah menimpa penduduk selama ini.

“Selain itu, difahamkan juga bahawa MBI telah melaksanakan satu projek mencegah banjir berharga RM100,000 di Taman Pertama, di sini.

“Projek berkenaan sebenarnya tidak perlu kerana sejak 30 tahun lalu penduduk kawasan berkenaan tidak berhadapan dengan masalah banjir,” katanya.

Seorang penduduk, Mazlan Ismail, 46, berkata, beliau mewakili semua penduduk di taman perumahan ini merayu kepada MBI agar tidak sesekali mengabaikan penduduk di kawasan itu.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");