Perak Hari Ini

Kesediaan tiga wakil rakyat UMNO berundur satu teladan yang baik

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kesediaan tiga wakil rakyat dari UMNO untuk berundur dan berjanji akan terus memberi sokongan padu kepada parti itu merupakan contoh dan teladan yang baik kepada wakil rakyat yang lain.

Tegasnya, ketiga-tiga wakil rakyat itu, iaitu Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar, Adun Lintang; Datuk Ahamad Pakeh Adam dan Adun Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbuat demikian jika sekiranya mereka tidak terpilih dan bukan lagi dianggap sebagai calon boleh menang (winneable candidate).

“Ini merupakan contoh yang baik dan kita harap ia akan menjadi teladan kepada yang lain juga. Soal samada mereka terpilih atau tidak sudah menjadi nombor dua bagi saya.

“Tetapi, yang penting mereka bertiga telah bersedia untuk berundur jika tidak dipilih dan tidak dianggap calon boleh menang. Sekiranya ada calon baru, mereka berikrar akan memberi sokongan kepada calon terbabit.

“Selain itu, mereka turut mengharapkan agar calon yang menggantikan mereka itu bukannya calon yang pernah mensabotaj parti dan ini merupakan satu pandangan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek perumahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Teluk Senangin, petang tadi.

Beliau mengulas kesediaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak yang menyatakan kesediaan untuk berundur dan memberi sokongan dan kesetiaan kepada parti jika tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Perak itu berkata, BN tidak mahu calon yang pernah mensabotaj parti secara tiba-tiba muncul di khalayak ramai dan menganggap dirinya sebagai calon boleh menang.

“Memandangkan kita bergerak atas nama parti, maka kita perlu ambil kira aspek ini juga,” katanya lagi.

Pada sebelah pagi, dalam satu sidang media di Ipoh, ketiga-tiga wakil rakyat dari UMNO itu menegaskan jika pucuk pimpinan parti menganggap mereka adalah calon boleh menang, mereka sedia bertanding.

Sidang media itu dibuat selepas sebuah siaran televisyen menyiarkan kenyataan bahawa ketiga-tiga mereka tidak mahu bertanding dalam PRU ke 13.

“Dalam komen yang diberikan, kami menyatakan sedia berundur tetapi dilaporkan kami enggan bertanding yang nyata bercanggah dan menyebabkan penyokong resah, menimbulkan keadaan tidak baik serta perlu diperbetulkan,” kata Hamdi yang turut bercakap mewakili Ahamad dan Mohd Zaim.

Dalam pada itu, Hamdi dan Ahamad turut menyuarakan pandangan mereka agar pucuk pimpinan parti tidak memilih mana-mana calon yang pernah mensabotaj dan mengkhianati parti sebagai calon.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");