Berita Hari Ini

‘Orang Umno’: Peringatan Najib Kepada Yang Lupa Perjuangan Sebenar Parti

Dalam tempoh enam hari, dua kali Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota parti agar menjadi ‘orang parti’ atau ‘orang Umno’.

Kali pertama diluahkan ketika wawancara khas bersama Bernama sebelum Perhimpunan Agung Umno 2011 pada Sabtu lepas, dan semalam beliau mengulanginya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden.

Dalam ucapannya itu, Najib bercerita mengenai sejarah pengorbanan ‘orang Umno’ sejak penubuhan parti pada 1946, termasuk tindakan pengasas Datuk Onn Jaafar keluar parti pada 1951, sehinggalah kepada peralihan kuasa Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein.

Tidak cukup dengan itu, Najib yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan pada 2009, juga menggariskan tiga ciri utama menjadi ‘orang Umno’ iaitu taat dan setia, cinta dan kasih, serta berkhidmat tanpa jemu dan bosan.

Apa tujuannya? Orang Umno sendiri perlu berfikir dan mencerna maksud dan makna ucapan presiden itu, bukan hanya yang tersurat tetapi juga apa yang tersirat.

Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Al-Habshee berpendapat apa yang presiden mahukan adalah orang Umno yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk parti dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Anggota Umno atau ‘orang Umno’ perlu sentiasa berpaksikan kepada prinsip kebenaran, amanah dan tanggungjawab perjuangan.

“Orang Umno inilah juga yang telah memperkasakan tanah air selama ini. Semangat itu harus dipertahankan seperti mana yang dikehendaki presiden,” kata Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Bagi pemimpin akar umbi Umno seperti Datuk Mohamed Soffi Abdul Razak dari Umno Lipis, ‘orang Umno’ akan memahami mesej Najib itu berkaitan pilihan raya umum ke-13 yang bakal menentukan hala tuju agama, bangsa, negara dan parti.

“Walaupun tidak ada kenyataan yang jelas mengenai pilihan raya tetapi kesemua menjurus kepada perjuangan parti menghadapi pilihan raya.

“Semua pilihan raya pun penting…tetapi pilihan raya akan datanglah yang bakal menentukan kerajaan dan parti mana yang mendukungnya kelak,” katanya.

Mohamed Soffi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Benta, berkata walaupun mesej Najib menjurus kepada mereka yang menganggotai parti, pesanan turut meliputi ‘orang Umno’ di luar parti.

“Ini juga ‘orang Umno’. Kita tengok sesetengah orang di luar parti, mereka bukan anggota, tak berdaftar tapi mereka bersama Umno dalam perjuangan. Mereka yang menjadi penyokong, membantu parti. Mereka ini juga dalam kategori golongan simpati kepada parti.

“Tetapi ada juga yang dalam parti, tidak pernah keluar pun tapi masih menjadi anggota dan lebih bersama parti pembangkang. Mereka ini menjadi duri dalam daging dan inilah masalah yang timbul,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");