Perak Hari Ini

Kerajaan Perak serah tajaan RM10,000 kepada Puteri Rabiatul Adawiyah

Kanak-kanak cilik, Puteri Rabiatul Adawiyah Mat Zaki yang baru berusia empat tahun ibarat sebutir bintang yang bakal menyinar dalam sukan catur negara apabila terpilih menyertai 7th Asian Schools Chess Championship di New Delhi, India pada 16 hingga 23 Disember ini.

Kelahiran Ipoh dan anak tunggal kepada pasangan Mat Zaki Yop, 53, dan Raja Noraizah Raja Mahmood, 48, itu merupakan satu-satunya wakil negara dalam kejohanan untuk katogeri bawah umur lima tahun yang terpilih berdasarkan kepada kebijaksanaannya menguasai permainan catur.

Pada usia tiga tahun, Puteri Rabiatul Adawiyah telah dihantar mengikuti latihan di Akademi Catur Insofar dan kini mampu menewaskan lawannya yang berumur lapan atau sembilan tahun.

Menyedari bakat yang dimilikinya itu, Persekutuan Catur Malaysia telah menawarkan jemputan kepada Puteri Rabiatul Adawiyah untuk menyertai kejohanan itu dengan segala pembiayaan perlu ditanggung sendiri berjumlah RM3,633.

Namun, di atas keyakinan dan kemampuannya untuk menyerlah dalam sukan catur, kerajaan negeri Perak hari ini tampil menyerahkan tajaan bernilai RM10,000 kepada Puteri Rabiatul Adawiyah.

Ia merupakan tajaan bersama antara Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Jawatankuasa Belia, Kebudayaan, Kesenian dan Sukan negeri yang masing-masing diwakili oleh Datuk Hamidah Osman dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Satu majlis ringkas penyerahan tajaan kepada Puteri Rabiatul Adawiyah diadakan di Bangunan SUK, pagi ini.

Bercakap kepada pemberita, Hamidah berkata, bakat luar biasa yang dimiliki kanak-kanak itu cukup mengagumkan selain berkeyakinan tinggi walaupun baru berusia empat tahun.

“Kerajaan negeri melalui kedua-dua jawatankuasa telah bersetuju untuk menaja RM10,000 bagi membiayai segala perbelanjaan Puteri Rabiatul Adawiyah dan kedua-dua ibu bapanya sepanjang mereka berada di New Delhi nanti.

“Kita ingin memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk mengasah bakatnya di peringkat antarabangsa dan ini merupakan satu kebanggaan bukan sahaja untuk kerajaan Perak tetapi juga Malaysia amnya,” kata Hamidah lagi.

Menurutnya, tajaan itu juga diharap dapat menyuntik semangat kepada kanak-kanak lain untuk menyerlahkan bakat mereka dalam permainan catur dan sukan lain.

Sementara itu, Raja Noraizah merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri di atas sumbangan tajaan bernilai RM10,000, sekaligus merealisasikan impian anak tunggalnya untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, Puteri Rabiatul Adawiyah sudah mengenali dan berminat dengan permainan catur sejak berusia setahun lagi.

“Walaupun belum mahir membaca dan menulis, anak tunggal saya ini memang berbakat bermain catur yang diwarisi daripada bapanya yang kini bertindak sebagai jurulatih kepada Puteri Rabiatul Adawiyah.

“Kami sekeluarga akan bertolak ke New Delhi pada 16 Disember dan pertandingan akan bermula keesokan harinya.

“Saya berharap Puteri Rabiatul Adawiyah dapat mengharumkan nama Perak dan Malaysia dalam sukan catur di peringkat antarabangsa dan bergelar International Grandmaster In Chess suatu hari nanti,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");