Berita Hari Ini

SPR Jamin Guna Daftar Pemilih Bersih Untuk PRU-13

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan daftar pemilih yang akan digunakan oleh suruhanjaya itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang adalah daftar pilihan raya sebersih-bersihnya.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sekarang ini SPR bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membersihkan nama mereka yang sudah meninggal dunia.

“SPR sejak dulu lagi memberi perhatian yang serius membersihkan daftar pemilih ini,” katanya kepada pemberita selepas program Taklimat Pengurusan Pilihan Raya kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan pembantu pilihan raya negeri Terengganu di sini Selasa.

Menurut Wan Ahmad tiap-tiap tahun SPR membersihkan lebih kurang 50,000 nama mereka yang sudah meninggal dunia daripada daftar pemilih di seluruh negara.

“Proses membersih daftar pemilih mereka yang telah meninggal dunia disemak oleh SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara setiap hari,” katanya.

Wan Ahmad berkata jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara sekarang ini lebih kurang 12.4 juta dan berharap mereka yang belum berdaftar supaya berbuat demikian.

“InsyaAllah kalau mereka berdaftar sekarang nama mereka akan sempat di proses dan diwartakan untuk mengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata bagi warga negara yang bertanggungjawab daftar pemilih adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan negara.

Bagi negeri Terengganu, untuk pilihan raya umum ke-13 nanti, Wan Ahmad berkata pihaknya akan membuka sebanyak 342 pusat mengundi, 332 daripadanya adalah bangunan sekolah.

Katanya SPR akan membuka sebanyak 1,145 saluran tempat mengundi serta melantik lebih 9,000 orang petugas pilihan raya, majoritinya terdiri daripada guru-guru berpengalaman dalam pilihan raya lepas.

Wan Ahmad berkata peruntukan bajet pilihan raya bagi negeri Terengganu akan datang adalah sebanyak RM6.5 juta dan bajet keseluruhan negara sebanyak RM300 juta.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");