Berita Hari Ini

Wakil Perak Garis ‘5D’ Untuk Umno Menang Pilihan Raya

Wakil Perak hari ini menyarankan anggota Umno berpegang kepada falsafah “5D” — dorongan, daya usaha, dedikasi, disiplin dan doa — bagi meraih kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ketua Umno Bahagian Lenggong Datuk Saarani Mohamad yang mengemukakan cadangan itu berkata “D” yang pertama iaitu dorongan perlu diberikan kepada setiap anggota parti agar mereka bersama-sama menanam misi untuk mencapai kejayaan bagi parti.

Katanya tidak cukup jika hanya Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pemimpin tertinggi sahaja yang ada niat untuk menang tetapi niat yang sama tidak dikongsi dan dihayati oleh semua anggota Umno yang lain.

Justeru, Umno Perak mencadangkan supaya setiap negeri menganjurkan perhimpunan atau konvensyen mini Umno bagi memberi peluang kepada anggota parti di peringkat cawangan dan bahagian untuk bersama-sama membahaskan dan mengupas isi kandungan ucapan dasar Presiden.

“Kalau diberi peluang untuk mereka membahaskan ucapan dasar Presiden ini mungkin mereka mempunyai pandangan yang lebih bernas kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini, hari Khamis.

Saarani memaklumkan Umno Perak akan menganjurkan perhimpunan Umno Negeri itu pada 29 Jan depan.

Menyentuh “D” kedua iaitu daya usaha, Shaarani berkata semua bahagian dan kawasan kini sepatutnya sudah bersiap-sedia dengan pasukan kerja pilihan raya masing-masing memandangkan tempoh pilihan raya sudah semakin dekat.

Katanya pasukan itu sepatutnya sudah mempunyai perancangan teliti dan strateginya mesti betul, bersiap-sedia setiap masa, mempunyai analisis kukuh mengenai kekuatan dan kelemahan parti serta ancaman terhadap parti.

Berkongsi pengalaman pahit Perak menjadi pembangkang selama 11 bulan selepas pilihan raya umum lepas, Shaarani berkata jentera parti tidak boleh mengambil mudah mengenai pentingnya memastikan setiap anggota Umno keluar mengundi kerana ia penting bagi menjamin kemenangan berpihak kepada parti.

Selain itu, katanya anggota Umno perlu mencurahkan dedikasi dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk parti dan mencadangkan supaya mekanisme hukuman terhadap mereka yang mensabotaj parti diperkenalkan sebagai satu cara membentuk disiplin dalam parti.

“Kalau kita cinta pada parti, jangan ikut falsafah permainan bola iaitu kita hambat bola tetapi bila sudah dapat kita tendang. Sebaliknya kita harus ikut falsafah ragbi, bila dapat bola kita peluk sampai ke garisan penamat,” katanya memberikan analogi.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");