Perak Hari Ini

Jangan politikkan keputusan mahkamah bebas Anwar: Cho Ha

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya perlu dihormati oleh semua pihak.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah itu dan mereka yang terlibat dalam kes itu berhak dan bebas untuk membuat tindakan yang dirasakan wajar bagi membela diri.

“Keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat perlu dihormati dan tidak sewajarnya dijadikan isu politik kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu akan hanya menjejaskan kestabilan negara,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Beliau mengulas pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan kira-kira empat tahun lalu.

Ditanya samada keputusan itu akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang, Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, ia terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian masing-masing.

Namun, pembebasan Anwar itu katanya, telah membuktikan bahawa tuduhan pembangkang yang meragui sistem kehakiman dan perundangan negara adalah tidak berasas sama sekali.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Adun Barisan Nasional (BNBBC) negeri Perak, Datuk Nadzri Ismail pula berkata, keputusan mahkamah yang membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan itu jelas menunjukkan kebebasan badan kehakiman negara yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Tambahnya, Saiful berhak untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dan tindakannya itu tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Janganlah kita bertindak mempertikaikan keputusan Saiful untuk mengemukakan rayuan dan sebagai pihak yang terbabit dalam kes itu, beliau bebas dan berhak untuk berbuat demikian,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mengambil masa kurang tiga minit untuk membacakan penghakimannya berkata, beliau mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong keterangan Mohd Saiful.

“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful tidak terusik.

“Disebabkan itu, adalah tidak selamat untuk bergantung semata-mata kepada keterangan DNA selain tiada keterangan lain menyokong saksi pertama pendakwa (Mohd Saiful),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");