Berita Hari Ini

Malaysia Diharap Lebih Berjaya, Cemerlang Pada 2012 – Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap 2012 akan membawa lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan kepada negara selepas mengharungi 2011 yang begitu mencabar.

Beliau meminta rakyat untuk sama-sama berjuang menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan berjaya menerusi program kerajaan yang lebih tersusun termasuk Program Transformasi Kerajaan.

“Dengan dasar kerajaan yang pro-rakyat, dasar BN yang pro-orang muda dan pro-perpaduan, kita dapat selesaikan sebarang masalah. Sambil kita mohon kepada Allah memberi kekuatan, keamanan dan tekad yang lebih kukuh, kita mampu berdepan cabaran yang besar,” katanya yang mewakili Perdana Menteri pada majlis penutup Karnival Sayangi Selangor anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di bandar digital i-City.

Muhyiddin kemudian menerajui kira-kira 100,000 pengunjung mengira detik 2012 diikuti nyanyian lagu 1Malaysia dan pertunjukan bunga api.

Beliau berkata walaupun 2011 agak mencabar berikutan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat, namun berkat kepimpinan BN, negara berjaya mengharunginya dengan baik.

“Tidak ada rakyat yang mati kebuluran, ekonomi masih berkembang, BN mampu teruskan pembangunan dan rakyat masih merasakan kenikmatan hidup, bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara.

“Rakyat masih bersama kerajaan pusat malah di Selangor, rakyat masih mahu sokongan kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Mereka tahu pakatan pembangkang tidak boleh dipercayai, bersandiwara dan bergaduh sesama sendiri. Tembelang mereka telah pecah… bagaimana rakyat nak sokong,” katanya.

Muhyiddin berkata ramai rakyat Selangor mengadu tidak tahan berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang dilihat tidak adil dan saksama.

“Oleh itu, rakyat Selangor perlu menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau turut memuji BN Selangor kerana berjaya menganjurkan karnival empat hari itu, yang dikunjungi kira-kira 500,000 orang.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");