Perak Hari Ini

Kerajaan terima 11,000 permohonan sertai RPT Perwira: Ramly

Kerajaan negeri Perak sudah menerima 11,000 permohonan daripada bekas anggota tentera dan polis untuk menyertai projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu RPT Perwira, Datuk Ramly Zahari, berkata permohonan itu masih lagi terbuka dan borang  perlu dihantar kepada Pejabat Tanah Daerah untuk proses kelulusan.

“Permohonan masih lagi terbuka kerana tiada tempoh tertentu ditetapkan dan borang  ini boleh dimuat turun di laman web kerajaan negeri.

“Tetapi, ada pihak cuba ingin menjadi hero di sebalik usaha yang dicetuskan kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan bekas anggota tentera dan polis.

“Pihak berkenaan sengaja mahu mencuri tumpuan rakyat dan ini jelas menunjukkan mereka sudah ketandusan idea hingga sanggup mempertikaikan usaha kerajaan yang memperkenalkan RPT Perwira.

“Rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah golongan ini yang didalangi pihak pembangkang kerana kita bersungguh-sungguh untuk menyediakan 7,000 lot kediaman kepada anggota tentera dan polis,” katanya katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas tindakan tiga badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) dan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia ( KERABAT) baru-baru ini yang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Memorandum daripada ketiga-tiga NGO diketuai oleh Pengerusi BAPA Pusat, Razman Zakaria diserahkan kepada wakil Zambry di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

KERABAT mendesak kerajaan negeri supaya menunaikan janji-janji kepada bekas tentera dan perajurit.

Katanya, kerajaan berjanji akan menyediakan 7,000 lot tanah kepada bekas tentera tetapi sehingga kini janji tersebut tidak ditunaikan.

Mengulas lanjut, Ramly yang juga Exco Kerajaan Perak, berkata pihaknya akan berbincang dengan Koperasi Angkatan Tentera bagi memastikan harga rumah yang dijual kepada ahlinya 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Dalam mesyuarat yang diadakan minggu lalu, kita membuat keputusan untuk menyediakan lot kosong dan lot yang mempunyai rumah di 10 daerah seluruh Perak.

“Untuk lot kediaman yang dilengkapi dengan infrastruktur lengkap seperti bekalan air dan elektrik, harga yang ditetapkan adalah berbeza dengan lot kosong.

“Bayaran premium tanah RM500 adalah standard untuk lot kosong dan juga lot dengan rumah yang dijual pada harga antara RM70,000 hingga RM150,000,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");