Perak Hari Ini

Perak nilai semula Pelan Tindakan Perindustrian: DR Zambry

Kerajaan negeri Perak akan menilai semula Pelan Tindakan Perindustrian yang digunapakai ketika ini untuk digabung-jalin agar sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM48.4 bilion menjelang 2020 dapat dicapai, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pertindihan pelan tindakan yang diperkenalkan baik di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Oleh itu, kita perlu menyusun semula pelan tindakan perindustrian ini berdasarkan kajian yang ada selain mengambil kira faktor kelebihan yang dimiliki negeri Perak.

“Berdasarkan unjuran KDNK pada 2008, sektor perindustrian telah menyumbang kepada RM5.56 bilion kepada pertumbuhan negeri.

“Kajian juga menunjukkan bahawa Perak mencatat pertumbuhan tahunan 4.5 peratus dalam sektor berkenaan dan berdasarkan pencapaian itu, unjuran atau sasaran yang dicapai ialah RM48.4 bilion menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, kerajaan negeri akan terus mengenalpasti sektor-sektor baru yang memberi kelebihan kepada Perak dengan memperkenalkan konsep kluster.

“Kita mempunyai beberapa kluster perindustrian seperti industri perkapalan di Daerah Manjung manakala Daerah Tanjung Malim pula dikenali kawasan industri automatif.

“Di bawah pelan tindakan ini juga, kita melihat industri sumber tenaga alternatif, besi, bioteknologi, produk halal dan kesihatan berpotensi dibangunkan sebagai sektor baru di Perak,” kata Zambry lagi.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan jawatankuasa khas yang dianggotai badan bukan kerajaan (NGOS) bagi memantau kegiatan pemburuan hidupan liar di Hutan Belum-Temengor.

Kerajaan negeri juga katanya, akan bekerjasama dengan pihak penguatkuasa secara bersepadu bagi mengekang kegiatan itu daripada terus berleluasa.

“Kita bersedia menerima cadangan daripada NGOS yang terlibat secara langsung dalam memperjuangkan kehidupan liar di Hutan Belum-Temengor selain akan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");