Perak Hari Ini

Projek LPB akan dilaksanakan tidak lama lagi: MB Perak

Kerajaan Perak optimis projek Lebuhraya Pantai Barat (LPB) sejauh 316 KM yang menghubungkan Banting di Selangor dan Changkat Jering, dekat Taiping bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata baru-baru ini kerajaan negeri telah diberi taklimat berkaitan projek itu yang akan  membabitkan dua fasa pembinaan.

“Projek ini akan dilaksanakan tidak lama lagi dan kita jangka ia bakal memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Perak,” katanya kepada pemberita  selepas majlis penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat kelolaan Syarikat Perumahan Negara Berhad di Kampung Teluk Senangin, dekat Segari, hari ini.

Anak syarikat Kumpulan Europlus Bhd (KEuro) – West Coast Expressway Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina lebuh raya baru sepanjang 316km yang menghubungkan Banting di Selangor dan Taiping dengan kos pembinaan bernilai RM7.07 bilion.

KEuro dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia baru-baru ini menyebut bahawa mereka telah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan projek mega itu.

Adalah difahamkan, laluan sepanjang 224km akan dikenakan tol manakala baki 92km lagi akan dibuka secara percuma kepada awam.

KEuro juga berkata, kos pengambilan tanah yang ditafsirkan berjumlah RM980 juta akan ditanggung oleh kerajaan manakala kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh West Coast Expressway melalui tender terbuka.

Sebelum ini, Zambry dilaporkan berkata, projek LPB yang menghubungkan Banting di Selangor dan Changkat Jering dijangka dapat merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri Perak.

Tegasnya, projek itu secara tidak langsung dapat mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi baru di sepanjang pantai Perak dikenali Koridor Jajaran Pantai Barat.

“Koridor Jajaran Pantai Barat ini  akan membantu membangunkan perkampungan pertanian dan nelayan yang dianggap kurang membangun di sepanjang pesisir pantai negeri.

“Ia membabitkan daerah Hilir Perak, Manjung serta sebahagian Perak Tengah serta Larut Matang dan Selama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");