Program Basmi Kemiskinan

Golongan nelayan di Teluk Senangin tidak dipinggirkan, miliki rumah selesa dengan bantuan SPNB

“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga kini dapat mendiami rumah yang lebih selesa berbanding tinggal di kawasan tepi laut sebelum ini,” demikian kata Nohamizah Saadon, 22, isteri salah seorang daripada tujuh penerima kunci Rumah Mesra Rakyat kelolaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Teluk Senangin, dekat Segari.

Beliau berkata, sejak 10 tahun lalu, suaminya, Shafie Mohd Akhir tinggal di kawasan tepi laut dengan keadaan rumah yang serba uzur kerana tidak mampu membina rumah selesa kerana nelayan meraih pendapatan yang tidak menentu.

“Saya menyokong penuh saranan Menteri Besar agar lebih banyak rumah mesra rakyat dibina di sini kerana ia bakal mewujudkan perkampungan yang baru dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan SPNB yang membantu golongan miskin di negeri Perak untuk memiliki rumah idaman yang serba selesa,” katanya kepada Perak Today.

Norhamizah Saadon

Tambahnya, nelayan di kampung itu juga berharap kerajaan agar dapat membina jeti bagi menjamin keselamatan bot mereka.

Terdahulu, Norhamizah dan suaminya menerima kunci rumah daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Kampung Teluk Senangin pagi tadi.

Penerima lain, Norsyila Mehiedeen, 28, pula berkata, hajatnya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai hasil sokongan dan bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional dan SPNB.

Tegasnya, sebelum ini, beliau bersama suami dan dua anaknya tinggal di kawasan tepi laut dan rumahnya yang diperbuat daripada papan.

Norasyila Mehiedeen

“Syukur kerana golongan nelayan di sini tidak terpinggir sebaliknya diberi peluang untuk menyertai projek SPNB,” katanya lagi.

Bagi Mohd Radi Hashim, 38, turut menyuarakan rasa gembira kerana hasratnya untuk memiliki rumah sendiri dapat direalisasikan oleh pihak SPNB.

“Perasaan saya cukup gembira kerana kini saya dapat mendiami rumah yang selesa berbanding sebelum ini yang jauh berbeza,” jelasnya yang meraih pendapatan RM700 sebulan dengan bekerja sebagai nelayan.

Sebelum ini, beliau katanya, berteduh di sebuah rumah serba kekurangan bersama lima lagi ahli keluarganya yang dibina atas tanah rizab pantai.

Mohd Radi Hashim

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri mahu SPNB membina lebih banyak rumah mesra rakyat di Kampung Teluk Senangin, dekat Segari agar ia menjadi sebuah perkampungan tersusun yang baru di Daerah Manjung.

“Selama ini, SPNB berjaya membantu kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan dengan menyediakan rumah kepada golongan miskin tegar di Perak contohnya dengan membina tujuh buah rumah mesra rakyat di Kampung Teluk Senangin yang setiap satunya bernilai RM70,000.

“Memandangkan kawasan ini masih mempunyai kawasan yang luas, kita berharap agensi berkenaan dapat membina lebih banyak rumah mesra rakyat di sini yang akhirnya akan mewujudkan penempatan atau kampung tersusun yang baru.

“Ia juga adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk memperindahkan kawasan ini sebagai tarikan pelancong terutama di hujung minggu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");