Perak Hari Ini

SPNB digesa bina lebih banyak rumah mesra rakyat di Perak: DS Zambry

Kerajaan negeri mahu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina lebih banyak rumah mesra rakyat di sesuatu kawasan yang dibangunkan agar ia menjadi sebuah penempatan atau kampung tersusun yang baru di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selama ini, agensi itu berjaya membantu kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan dengan menyediakan rumah kepada golongan miskin tegar di Perak.

“Salah satu agensi yang membantu kerajaan negeri ialah SPNB yang memperkenalkan skim perumahan Mesra Rakyat di Kampung Teluk Senangin yang membabitkan pembinaan tujuh buah yang setiap satunya bernilai RM70,000.

“Memandangkan kawasan ini masih mempunyai kawasan yang luas, kita berharap agensi berkenaan dapat membina lebih banyak rumah mesra rakyat di sini yang akhirnya akan mewujudkan penempatan atau kampung tersusun yang baru.

“Ia juga adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk memperindahkan kawasan ini sebagai tarikan pelancong terutama di hujung minggu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah SPNB di Kampung Teluk Senangin pagi tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar SPNB, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh.

Terdahulu, dalam ucapan ringkasnya, Zambry yang juga Adun Pangkor, berkata kerajaan negeri berharap sekurang-kurangnya 30 hingga 40 buah rumah mesra rakyat dapat disediakan di Kampung Teluk Senangin bagi menempatkan golongan miskin tegar yang terdiri kalangan nelayan.

“Kawasan penempatan Kampung Teluk Senangin bukan sahaja untuk nelayan di situ juga tetapi juga membabitkan golongan termiskin yang  berada di sekitar Daerah Manjung.

“Sebagai permulaan, kita lihat nelayan muda yang baru membina keluarga diberi peluang untuk menyertai skim perumahan SPNB yang menyediakan rumah baru yang serba selesa kepada si pemiliknya,” kata Zambry lagi.

Sementara itu, Kamarul Rashdan berkata, pihaknya merancang untuk membina 2,000 lagi rumah mesra rakyat di Perak tahun ini.

Mulai Januari lalu, setiap unit rumah mesra rakyat dibina dengan kos RM65,000 sahaja berbanding RM70,000 sebelum ini.

“Dalam Bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri Oktober lalu, kerajaan telah menetapkan bahawa setiap peserta skim perumahan mesra rakyat perlu membayar pinjaman RM45,000 secara ansuran selama 25 tahun manakala RM20,000 lagi diberi bantuan subsidi.

“Ini bermakna, peserta hanya perlu menjelaskan bayaran RM150 sebulan kepada pihak bank tanpa dikenakan sebarang faedah.

“Selain itu, kita juga akan menyediakan lima model baru untuk rumah mesra rakyat yang lebih luas yang dilengkapi dengan dua bilik air dan dua bilik tidur,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, SPNB telah membina sejumlah 1,866 rumah mesra rakyat di seluruh Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul menegaskan, agensi itu juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenalpasti kawasan sesuai untuk menjayakan program rumah mampu milik yang bernilai bawah RM100,000 seunit.

Untuk tahun ini, agensi itu katanya, menyasarkan membina 1,000 unit rumah mampu milik di Perak.

“Kita menyahut saranan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang mahu SPNB membantu kerajaan negeri di seluruh negara untuk menyediakan rumah yang selesa kepada rakyat terutamanya untuk golongan miskin,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");