Perak Hari Ini

90 pelajar Tingkatan Enam Atas terima dermasiswa BAIDURI

Muhammad Shaffiq Bakar, Teng Shi Gin dan V Pushpaa antara 90 pelajar Tingkatan Enam Atas dari seluruh Perak yang terpilih menerima bantuan dermasiswa daripada Badan Amal dan Usaha Isteri (BAIDURI) Negeri Perak, tahun ini.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila masing-masing menerima wang tunai RM500 daripada BAIDURI yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di kediaman rasminya di Ipoh, pagi ini.

Sumbangan tahunan kepada 45 buah sekolah itu juga jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan BAIDURI dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Bercakap kepada Perak Today.com, pelajar SMK Seri Kampar, Muhammad Shaffiq berkata, beliau amat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan RM500 daripada BAIDURI.

Muhammad Shaffiq Bakar

Beliau yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Malaya (UM) berkata, wang yang diterima itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan agar dapat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPTM).

“Saya harap mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun ini sebagai platform untuk meneruskan pelajaran dalam jurusan pentadbiran di UM,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai tinggi tabdir suatu hari nanti.

Teng Shi Gin, 19, dari SMK Tsung Wah, dekat Kuala Kangsar, pula berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya untuk membeli buku latihan dan rujukan yang diperlukan ketika mengulang kaji.

“Saya berasa seronok kerana terpilih menerima bantuan dermasiswa daripada BAIDURI dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti,” katan Shi Gin yang ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Matematik.

Anak pemandu teksi, Pushpaa pula berkata, bantuan yang dihulurkan itu akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita bergelar seorang doktor.

Pelajar aliran Sains dari SMK Ayer Tawar itu juga berkata, beliau begitu gembira kerana tersenarai antara 90 pelajar dari seluruh Perak menerima dermasiswa BAIDURI.

Pusphaa menerima bantuan dermasiswa BAIDURI yang disampaikan oleh Dr Zambry

“Saya akan belajar dengan gigih untuk mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diambil termasuklah Matematik, Biologi dan Pengajian Am,” kata anak bongsu daripada enam adik beradik itu lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah berkata, penerima dermasiswa BAIDURI itu ditentukan oleh pihak sekolah masing-masing berdasarkan kepada latar belakang keluarga dan tahap  pencapaian pelajaran yang sederhana.

Katanya, bantuan yang dihulurkan dapat memberi peluang berkualiti kepada pelajar terpilih untuk berjaya dalam pelajaran.

Ketika menyampaikan ucapannya di majlis itu, Dr Zambry berkata, pelajar Tingkatan Enam juga mempunyai kualiti dan nilai yang baik, sama seperti pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat universiti ataupun matrikulasi.

Pelajar yang meneruskan pelajaran di Tingkatan Enam katanya, mendapat peluang kedua dan mereka ini juga boleh berjaya kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan minda yang sempurna.

“Namun, disebabkan oleh faktor sekeliling dan latar belakang keluarga, pelajar ini tidak berupaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran,” katanya lagi.

Apa yang lebih penting kata Zambry, setiap pelajar perlu memiliki keyakinan diri dan keazaman yang kuat untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Jelasnya lagi, segala kesusahan yang dialami akan mematangkan diri pelajar untuk lebih berjaya bukan sahaja dalam pelajaran tetapi kehidupan di masa depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");