Perak Hari Ini

DCA timbang permohonan bina bangunan tinggi

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersetuju untuk menimbang permohonan pembinaan bangunan tinggi di sekitar bandar raya Ipoh tetapi tertakluk kepada tiga syarat termasuk mengecat bahagian atas bangunan dengan warna ditetapkan bagi tujuan keselamatan.

Dua syarat lain ialah memasang lampu amaran pada struktur tertinggi bangunan serta menandakannya dalam pelan DCA dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk perhatian juruterbang yang menggunakan ruang udara Ipoh.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim, berkata DCA pada dasarnya bersetuju untuk mengkaji dan berbincang dengan kerajaan negeri bagi membantu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meluaskan sedikit kawasan Relaxed Limit Area atau melonggarkan sedikit syarat ketinggian bangunan tanpa menjejaskan keselamatan awam.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meluahkan rasa tidak puas hati berikutan peraturan terlalu ketat yang dikenakan DCA yang melarang pembinaan bangunan pencakar langit di bandar raya ini kerana Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah beroperasi di tengah bandar raya berkenaan.

Beliau menegaskan larangan itu tidak sepatutnya meliputi semua kawasan bandar raya kerana ia boleh merencatkan pembangunan bandar raya.

Sementara itu, Roshidi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM2.1 juta kepada MBI untuk melaksanakan program Bandar Selamat.

Katanya, sebanyak 23 lokasi sudah dikenalpasti bagi tujuan penyediaan infrastruktur berkaitan dengan program berkenaan.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");