Program Basmi Kemiskinan

MBI digesa naiktaraf, selenggara Pangsapuri Waller Court

Penghuni Pangsapuri Waller Court yang terletak di Jalan Datuk Onn Jaafar meletakkan harapan yang tingi agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa seiring dengan pembangunan pesat bandar raya Ipoh.

Sejak puluhan tahun lalu, penduduk terpaksa berhadapan pelbagai masalah yang bukan sahaja mengundang rasa tidak selesa tetapi juga mengancam keselamatan mereka.

Pangsapuri milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang dibina pada 1962 itu disewakan kepada golongan berpendapatan rendah dengan bayaran antara RM50 dan RM125 sebulan.

Tinjauan Perak Today di pangsapuri itu baru-baru ini mendapati tahap kebersihan di sekitar pangsapuri kurang memuaskan kerana penduduk mendakwa pungutan sampah tidak mengikut jadual ditetapkan dan keadaan longkang juga sering tersumbat.

Premis itu juga kelihatan usang dan tidak diselenggara hingga mencacatkan pemandangan dan keindahan bandar raya Ipoh apatah lagi kedudukannya terletak tidak jauh dari hotel bertaraf empat bintang yang baru beroperasi tahun ini.

Tambah menggusarkan penduduk ialah unit rumah yang kosong dan terbiar menjadi sarang penagih dadah dan kegiatan maksiat  yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman hidup mereka.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, pada 2009, kerajaan negeri melalui MBI pernah menyatakan beberapa bangunan rumah pangsa sekitar Ipoh termasuklah Waller Court akan diselenggara dan dibaikpulih untuk keselesaan penduduk.

“Penduduk di sini amat berharap janji itu dapat ditunaikan segera,” katanya.

Sementara itu,  Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim dalam pertemuan bersama pengamal media di Ipoh 13 Februari lalu, berkata MBI memutuskan untuk meneruskan cadangan membangunkan semula pangsapuri Waller Court dalam masa tidak lama lagi.

Tegasnya, mengikut perancangan, keseluruhan pangsapuri akan diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri baru yang bersaiz sederhana, selesa dan moden untuk didiami penduduk.

“Setiap unit akan mempunyai tiga bilik tidur dan kita juga akan membangunkan lot komersial di kawasan sekitarnya.

“Terma rujukan cadangan sudah dihantar kepada kerajaan negeri untuk diteliti samada ia sesuai atau tidak.

“Kita berharap projek ini dapat dimulakan tahun ini,” katanya.

Roshidi juga berkata, semasa proses pembinaan pangsapuri baru itu, 380 penghuni Pangsapuri Waller Court tidak perlu berpindah kerana projek itu dibuat secara berperingkat-peringkat.

“Sebanyak 200 unit pangsapuri kosong akan dirobohkan bagi pembangunan fasa pertama. Kita akan kekalkan penduduk di rumah mereka sehingga projek perumahan baru siap,” katanya.

Tegasnya lagi, MBI komited dan sudah beberapa kali cuba untuk membangunkan semula Pangsapuri  Waller Court tetapi tertangguh kerana dibantah oleh pihak penduduk.

“Saya minta penduduk faham kehendak sekarang dan jangan politikkan perkara ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");